Abang Perdana Menteri bakal tubuh parti baharu “Kuasa”

Abang Perdana Menteri bakal tubuh parti baharu “Kuasa”

Sebuah parti politik berbilang bangsa baharu yang dijangka dilancarkan Ahad ini akan dikenali sebagai Parti Kuasa Rakyat (PKR), menurut sumber.

Sumber berkata, penggerak utama parti itu ialah Kamaruzaman Yaakob, abang Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, dengan akronim yang dipertimbangkan ialah “Kuasa”.

Menurut sumber, ia akan dilancarkan pada 10 Okt di sebuah lokasi acara mewah eksklusif di bandar ini.

Katanya, sekumpulan pengasas mengadakan mesyuarat di sana sejak dua bulan lalu, termasuk beberapa individu dari Sabah, Sarawak dan ramai ahli politik serta NGO.

Tetapi, disebabkan Kamaruzaman yang menghampiri 70 tahun dan waktu pelancaran begitu cepat sejurus Ismail berkuasa, seorang pemerhati sukar menerima parti baharu itu ditubuhkan atas matlamat tunggal untuk mendokong cita-cita demokratik sosialis Kamaruzaman pada zaman kesatuan pelajarnya.

Beliau ialah bekas Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UMSU), salah seorang peserta demonstrasi Baling 1974 untuk membantah kemerosotan harga getah.

Beliau kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah dimansuhkan bersama Anwar Ibrahim.

Menurut sebuah kumpulan yang dipelawa berbincang dengan pengasasnya, Kamaruzaman membincangkan keperluan untuk kembali kepada falsafah Perdana Menteri Kedua, Abdul Razak Hussein yang menurutnya lebih bersifat demokrat sosial.

“Beliau berpendapat Umno dan parti seumpamanya bergerak ke haluan terlalu kanan dan terdapat keperluan untuk menyelaras politik supaya ia kembali berpusatkan rakyat, dengan cita-cita berdasarkan sosialisme demokratik.

“Beliau berasal dari Temerloh, tempat kelahiran Rejimen Ke-10 Tentera Pembebasan Nasional Malaya (MNLA) dan memulakan perjuangan awalnya menentang British di Pahang. Semangat nasionalisme itu masih tinggi dalam dirinya,” sumber memberitahu FMT.

Mengenai waktu penubuhan dan pelancaran, katanya, dengan adiknya memegang tampuk pemerintahan negara, ia mungkin memudahkan keadaan supaya lebih banyak bantuan boleh diberikan kepada golongan miskin di kawasan luar bandar.

“Umno jauh tersasar daripada prinsip ini dan sukar untuk bergantung kepada kumpulan pemimpin sedia ada untuk mencapainya.”

Bagaimanapun, sumber lain berkata, ini mungkin persediaan untuk keputusan tipis yang diharapkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), yang akan menjadikan kumpulan itu kuasa kecil bagi menjajarkan diri dengan parti pemenang yang mungkin tidak memiliki majoriti.

“Satu hujah ialah kumpulan ini mungkin membabitkan Ahli Parlimen sedia ada dari PKR pimpinan Anwar yang berpihak kepada Bersatu. Ia juga cuba menarik orang lain yang mempercayai parti politik berbilang kaum,” kata sumber lain kepada FMT.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya tiga bekas Ahli Parlimen bukan Bumiputera PKR terbabit dalam Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020 mungkin menyertai parti baharu itu.

“Ada yang tertanya-tanya jika langkah ini bertujuan menubuhkan sebuah kumpulan yang akan menggantikan Bersatu pasca PRU15 jika ia disingkirkan.”

Namun, matlamat parti baharu itu sama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Kami faham mereka mahu kembali kepada cita-cita sosialisme demokratik, dan mengembalikan politik kepada rakyat dan kuasa mereka. Selagi hala tuju ini dipertahankan, kami akan bersama gerakan baharu itu kerana ia sejajar apa yang kami perjuangkan selama ini,” kata Ketua PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

Isnin lalu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin menolak dakwaan penubuhan parti politik baharu yang akan diterajui Azmin Ali.

Beliau menjawab laporan Malaysiakini yang mengatakan ahli parti itu direkrut daripada Penggerak Komuniti Negara (PKN).

PKN didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan pada 16 Jun tahun lalu, dengan Zuraida ketika itu menyifatkannya badan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk membantu inisiatif di bawah portfolio terdahulunya — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. mk

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )