“Adegan cium” – Tiara Jacquelina dedah punca tolak tawaran berlakon di Hollywood

“Adegan cium” – Tiara Jacquelina dedah punca tolak tawaran berlakon di Hollywood

PERNAH menerima tawaran mengembangkan karier lakonan di Hollywood, pelakon Puan Sri Tiara Jacquelina bagaimanapun mendedahkan dia terpaksa menolak peluang itu disebabkan beberapa halangan.

Tiara, 54, berkata perbezaan budaya menjadi faktor dia melepaskan tawaran tersebut kerana enggan menyusahkan pihak produksi jika terpaksa menolak babak-babak yang kurang sesuai dengan cara hidup orang Asia.

“Sampai sekarang orang bertanya bila nak pergi Hollywood, sejujurnya memang ada ejen yang panggil untuk uji bakat watak orang Asia yang kita tengok sekarang ni. Tahun ni ada, tahun lepas pun ada… filem yang baru keluar pun ada tapi saya tak nak beritahu tajuk.

“Kalau 10 atau 20 tahun dahulu mungkin saya dah merasa berlakon filem Hollywood… sebenarnya tidak semudah seperti kita bayangkan sebab kadang-kadang budaya kita, saya ini old fashion sikit.

“Saya terfikir juga kalau ada babak suruh cium takkan saya nak cakap tak boleh buat. I don’t do kissing. Mungkin itu penghalang tapi saya tak terkilan,” katanya.

Live IG Tiara bersama dua editor hiburan yang juga moderator Dean Musthafa dan Roslen Fadzil.

Perkongsian Tiara itu dilakukan secara IG Live melalui akaun Instagram Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) pada malam Selasa sebagai usaha menyemarakkan sambutan Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung 10 Disember depan.

Sesi yang bertajuk Aku Pelakon Terbaik itu dibawakan khas oleh Bahagian Latihan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Ia dikendalikan editor hiburan berpengalaman yang bertindak sebagai moderator iaitu Dean Musthafa dan Roslen Fadzil.

Menyentuh mengenai kehadiran ramai bakat baharu, Tiara berkata bergelar pelakon memerlukan disiplin yang tinggi dan sentiasa belajar memperbaiki mutu lakonan.

“Kena berdisiplin dan terus belajar, jangan cepat rasa bagus… kita kena sedar beratus lagi pelakon di luar sana, sekarang ini zaman media sosial banyak sangat pelakon cuma antara kualiti sajalah.

“Pelakon yang bagus dia ada seri dia sendiri, orang pandang dia bukan sebab lawa tapi kerja keras dan dedikasi.

“Saya terus-terang cakap jarang jumpa pelakon masa uji bakat yang tahu proses pembikinan sesebuah cerita atau filem… contohnya semasa uji bakat teater Puteri Gunung Ledang, apabila diberitahu mereka kena luangkan masa beberapa bulan, mereka terkejut!” ujarnya.

Mengambil contoh dirinya, pelakon drama Keluarga Bahadon ini berkata dia sanggup mengorbankan kehidupan masa mudanya demi menjaga nama baik sebagai seorang anak seni.

“Kalau awak cuma nak fame dan glamor, jadi influencer di Instagram sahajalah, kalau nak jadi pelakon serius kena lalui peritnya, berkorban kehidupan sosial.

“Tengok saya tak ada social life, kita pun pernah muda, tengok orang best hidup pergi sana-sini, clubbing keluar setiap malam tapi saya kena disiplinkan diri daripada melakukan hal itu.

“Ini kerana saya tak mahu ada kontroversi, saya kena pastikan diri saya keep clean supaya tak terpalit kontroversi. Selain itu tak boleh cepat melatah apabila berdepan sesuatu,” katanya.

Selain Tiara, artis lain yang akan turut berkongsi kisah menarik mereka ialah Fauziah Ahmad Daud, Maya Karin Syamsul Yusiof, Mawi, Yana Samsudin, pengarah dan penerbit filem seperti Datuk Ziela Jalil, Fadzil Teh dan Datuk A Aida.

Sesi ini yang bermula Sabtu lalu akan berlangsung sehingga 29 November ini pada pukul 9 malam menerusi Instagram Wartawan Hiburan. – Mstar

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )