Arak boleh dijual di kedai runcit dan serbaneka sekitar ibu negara

Arak boleh dijual di kedai runcit dan serbaneka sekitar ibu negara

Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia menyatakan rasa kesal dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menangguhkan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina sekitar ibu negara.

Larangan itu yang sepatutnya berkuat kuasa 1 Oktober ini ditangguhkan sebulan lagi sehingga 31 Oktober.

“Kami juga kesal atas tindakan oleh DBKL yang telah gugurkan syarat penjualan arak yang dikenalkan pada tahun 2020,” kata ketua pergerakannya David Marshel dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, larangan seumpamanya boleh mengawal penjualan arak palsu serta arak murah.

Untuk rekod, DBKL sebelum ini memaklumkan bahawa penangguhan penguatkuasaan larangan itu bertujuan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan minuman keras di Kuala Lumpur.

DBKL sebelum ini mengeluarkan Garis Panduan LMK, yang telah diguna pakai berkuat kuasa 15 Nov 2020, yang mana garis panduan itu antara lain menyatakan bermula 1 Okt 2021 penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina tidak dibenarkan.

Sementara itu, David turut menggesa kerajaan pusat memandang serius berhubung isu penjualan arak palsu dan murah.

Katanya, ini kerana sejak 9 Sept hingga 1 Oktober sebanyak 33 kematian dicatatkan akibat arak palsu yang mengandungi metanol.

“Kami harap kerajaan persekutuan akan mengambil satu tindakan menyeluruh agar isu ini dapat ditangani segera tanpa menjejaskan pendapatan kerajaan mahu pun hak bukan Islam yang minum arak.

“Kami ingin menyatakan bahawa isu penjualan arak palsu dan arak murah perlu diatasi oleh kerajaan agar dapat menyelamatkan nyawa dari keracunan dan komplikasi kesihatan dengan pengambilan arak yang lebihan disebabkan arak dijual murah dan merata-rata,” katanya. mk

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )