Awal sangat putuskan BN ‘bersendiri’ pada PRU15 – KJ

Awal sangat putuskan BN ‘bersendiri’ pada PRU15 – KJ

REMBAU: Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, berpandangan masih terlalu awal untuk Barisan Nasional (BN) memutuskan bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata, meskipun BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, parti itu perlu mengkaji lebih mendalam termasuk berhubung aspek statistik 65 peratus pengundi keluar mengundi semalam, sebelum membuat keputusan sama ada akan bergerak secara solo atau sebaliknya pada PRU Ke-15 (PRU-15).

“BN sudah membuktikan masih ada kekuatan sokongan pengundi dan pada peringkat akar umbi.

“Namun, kita perlu menerima hakikat bahawa pada PRN Melaka, semalam, hanya 65 peratus keluar mengundi dan 35 peratus lagi tidak keluar mengundi.

“Dalam apa jua keputusan yang bakal dibuat nanti, kita perlu memikirkan soal sama ada di Melaka itu adalah representasi kepada PRU ataupun tidak,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan serta menyempurnakan majlis penyampaian aset di Pejabat Kesihatan Daerah Rembau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, belum diketahui kecenderungan pilihan golongan yang tidak keluar mengundi pada PRN Melaka kali ini, termasuk sama ada mereka adalah penyokong BN atau atas pagar.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga tidak pasti sama ada mereka tidak keluar mengundi kerana bimbang akan risiko jangkitan COVID-19 atau faktor lain.

“Maka untuk membuat kesimpulan daripada PRN Melaka kepada PRU, perlulah berhati-hati,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy mengucapkan tahniah kepada jentera parti BN yang dipimpin Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, serta Ketua Menteri negeri itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, atas kemenangan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN semalam.

Beliau turut memaklumkan secara keseluruhan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berjalan lancar walaupun ada beberapa kes, manakala semua parti bertanding dilihat berjaya menyesuaikan diri dengan kaedah kempen yang baharu.

“Ini boleh menjadi satu model untuk PRN Sarawak nanti,” katanya.–BH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )