Azalina usul RUU Pecat Ahli Parlimen lompat parti khianat pengundi

Azalina usul RUU Pecat Ahli Parlimen lompat parti khianat pengundi

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said akan mengemukakan satu usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun bertajuk Rang Undang- Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

Beliau berkata, Akta Pemecatan Ahli Parlimen merupakan langkah terbaik untuk mencegah wakil rakyat daripada melompat parti dengan pengundi boleh menarik balik mandat yang mereka berikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka melalui pilihan raya baharu.

“Saya berhasrat untuk menghantar suatu notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan.

“Oleh itu, hak untuk memilih wakil rakyat yang baharu atau mengekalkan wakil rakyat tersebut dikembalikan kepada pengundi,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, langkah itu juga dapat menghalang budaya wakil rakyat membelakangi bukan sahaja parti politik yang memberikan watikah pencalonan kepada mereka, tetapi juga masyarakat akar-umbi bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu untuk memenangkan mereka daripada melompat parti.

“Demi kemajuan negara, pemimpin politik generasi saya dan generasi lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik suatu pilihan kerjaya yang profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji dan dicaci.

Tanggapan rakyat terhadap ahli-ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi, saya terkilan dengan keadaan ini,” katanya.

Tambah bekas speaker Dewan Rakyat itu, beliau juga menyambut baik perbincangan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersama wakil pembangkang dan bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti.

Azalina berkata, beliau juga mencadangkan penubuhan “Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti” di antara Ahli-ahli Parlimen yang berminat.

“Ini adalah untuk memperkasakan institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan demokrasi berparlimen di negara kita,” katanya. FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )