Azmin langgar SOP Aidilfitri, satu laporan polis telah dibuat terhadap beliau

Azmin langgar SOP Aidilfitri, satu laporan polis telah dibuat terhadap beliau

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali mengesahkan satu laporan polis diterima semalam berhubung dakwaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Mohamed Azmin Ali melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan larangan kunjung-mengunjung atau ziarah Aidilfitri.

Beliau berkata laporan itu diterima pada 3 petang berhubung hantaran di Facebook atas nama Ummi Hafilda Ali yang tular di media sosial mendapat perhatian netizen yang mendakwa ahli keluarga Mohamed Azmin merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Peraturan 17 P.U (A) 225/2021.

Mohd Fadzil berkata Mohamed Azmin serta ahli keluarga, anggota Pasukan Gerakan Am yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik akaun Facebook Ummi Hafilda Ali serta saksi-saksi yang lain akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan.

“Maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya tersebut hanya dalam kalangan ahli keluarga Mohamed Azmin yang mendiami kediaman tersebut. Keterangan petugas yang menjaga pos kawalan kediaman rasmi tersebut juga mengesahkan pada 13 Mei tiada pergerakan keluar masuk tetamu seperti yang didakwa dalam hantaran Facebook yang tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kejadian tersebut didakwa berlaku pada 13 Mei lebih kurang 8 pagi di kediaman rasmi Mohamed Azmin di alamat No 3, Jalan Presint 10/7, Presint 10.

Beliau turut menasihati pengguna media sosial yang lain supaya berhati-hati semasa mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang ataupun jabatan.

– Bernama

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )