Bapa berdepan hukuman penjara 20 tahun lakukan seks oral dengan anak kandung

Bapa berdepan hukuman penjara 20 tahun lakukan seks oral dengan anak kandung

Seorang bapa mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencabul anak kandungnya yang berusia lima tahun sembilan bulan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini.

Tertuduh yang berusia 37 tahun membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan maksud seksual mencabul pada bahagian kemaluan anak perempuan kandungnya di sebuah bilik dalam rumah di Pasir Puteh, pada 3 petang Mac 2020.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum bawah Seksyen 14 yang sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Bagi pertuduhan kedua, buruh itu didakwa dengan maksud seksual melakukan seks oral kepada mangsa sama pada masa dan lokasi sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum bawah Seksyen 14 yang sama dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya memberitahu dia mempunyai tanggungan anak dan isteri serta ada penyakit.

“Saya tidak buat benda ini (cabul anak) dan tidak tahu apa-apa,” katanya, menurut laporan Harian Metro.

Mahkamah menetapkan 8 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )