BERSATU tak tergugat dengan ADUN ‘lompat’ yang bersama PBM – Wan Saiful

BERSATU tak tergugat dengan ADUN ‘lompat’ yang bersama PBM – Wan Saiful

PETALING JAYA: Parti Bersatu tidak terkesan dengan penubuhan dan senarai ahli jawatankuasa Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang diumumkan kelmarin, kata Wan Saiful Wan Jan.

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, perlembagaan parti itu jelas mengatakan sekiranya mana-mana ahli menyertai parti lain, maka keahlian mereka secara automatik tergugur dan peraturan itu konsisten serta terpakai kepada semua.

“Ramai wartawan menghubungi saya mengenai pengumuman senarai AJK Parti Bangsa Malaysia.

“Saya telah sebutkan sebelum ini bahawa perjuangan Bersatu tidak terkesan dengan perkembangan ini. Bersatu akan terus bergerak dengan agenda integriti, tadbir urus yang baik, antirasuah dan antisalah guna kuasa, demi memberikan manfaat kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama,” katanya di Facebook.

Wan Saiful berkata, Bersatu juga semakin berkembang dengan bilangan keahlian yang meningkat setiap bulan.

Pada mesyuarat khas persidangan agung (EGM) PBM kelmarin, Larry Sng dilantik sebagai Presiden PBM.

Selain Larry, 30 ahli jawatankuasa baharu parti itu yang turut dilantik termasuk bekas Exco kerajaan Selangor Haniza Mohamed Talha dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Wong Judat sebagai Timbalan Presiden.

Sebelum ini, PBM dikenali sebagai Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang diasaskan oleh bapa Larry, Sng Chee Hua, bersama sekumpulan ahli politik pada 2012.

PBM kini mempunyai dua wakil di Dewan Rakyat, iaitu Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong Shiau Yoon.

Laporan media sebelum ini turut memetik Sng sebagai berkata, PBM adalah parti yang menyokong kerajaan Keluarga Malaysia dan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.–FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )