Faiz Fadzil “korban awal” untuk keluarga asnaf

Faiz Fadzil “korban awal” untuk keluarga asnaf

PERMATANG PASIR – Adun AMANAH, Faiz Fadzil meneruskan kerja-kerja peduli rakyat dengan menyantuni 150 buah keluarga asnaf semalam.

Dengan pelaksanaan PKP3.0, lebih ramai penduduk yang terkesan apabila banyak lagi sektor ekonomi yang masih belum boleh beroperasi seperti sediakala. Beliau yang merupakan Adun di kawasan Permatang Pasir itu terus memberikan bantuan keperluan makanan dan kewangan dari masa ke semasa.

Menjelang sambutan Hari Raya Aidil Adha yang bakal diraikan 2 hari lagi, Faiz tidak terlepas menyantuni golongan asnaf yang sedang dalam persiapan menyambut perayaan tersebut.

“Tidak semua orang bernasib baik untuk membuat persiapan Hari Raya. Hari Raya perlu disambut dengan keceriaan, oleh itu, tiada sesiapa yang patut tercicir untuk sama-sama merasai nikmat ini” ujar Faiz.

Selain daripada menyampaikan sumbangan barang dapur kepada 150 buah keluarga asnaf di Dun Permatang Pasir, bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidil Adha, Faiz juga memaklumkan barangan dapur sahaja tidak cukup.

“Pada hari ini penerima juga menerima seekor ayam segar dan sekilo daging mentah sebagai tambahan bagi persiapan Hari Raya.”

“Kali ini sedikit kelainan yang saya dan staff lakukan apabila kami menyediakan ayam dan daging kepada setiap keluarga asnaf seolah-olah sambutan ‘korban’ yang disambut lebih awal bagi membolehkan mereka juga menghidangkan makanan istimewa di pagi Hari Raya” tambah beliau lagi.

Faiz juga memaklumkan, masjid-masjid di kawasan beliau diberikan izin untuk menjalankan ibadat korban dan beliau percaya daging-daging korban nanti akan diedarkan kepada mereka yang memerlukan di qariah masing-masing.

Menurut Faiz lagi, bagi mengurangkan pergerakan penerima, hampir seharian beliau menjelajah ke seluruh kampung MPKK-MPKK bagi menyampaikan sendiri sumbangan.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )