Faiz Fadzil rai 9 pelajar cemerlang SPM 2020

Faiz Fadzil rai 9 pelajar cemerlang SPM 2020

PERMATANG PASIR – YB Faiz Fadzil meneruskan gerak kerja peduli rakyat dengan menyampaikan sumbangan khas kepada 9 orang pelajar cemerlang SPM 2020 dalam Dun Permatang Pasir.

Menghargai kejayaan cemerlang mereka dalam SPM, beliau menyampaikan sumbangan wang tunai serta menyerahkan sebuah buku bertajuk ‘Membongkar Rahsia Dunia Melayu’ kepada setiap pelajar tersebut.

“Sumbangan wang tunai ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar-pelajar membuat persediaan memasuki universiti.

“Saya hadiahkan buku tersebut khas kepada mereka bagi mendorong pelajar-pelajar ini mengenali identiti bangsa sendiri bagi membentuk jati diri yang mampu mengangkat martabat bangsa,” ujar Faiz.

Pendidikan sentiasa menjadi perhatian beliau di Permatang Pasir dengan pelbagai program pendidikan diadakan seperti tuisyen percuma, seminar motivasi dan teknik menjawab soalan peperiksaan serta pemberian alat peranti untuk PdPR.

Faiz juga menekankan konsep keadilan sosial untuk membaiki kualiti rakyat bukan sahaja dari sudut keperluan makanan dan kehidupan, tetapi juga intelektual.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian anak-anak Permatang Pasir walaupun dari sudut geografi, kawasan yang ini terletak di kawasan luar bandar.

Faiz juga dalam nada sebak meluahkan kegembiraan beliau “Hati kecil saya teruja melihat para pelajar ini berjaya walaupun diuji dengan pelbagai ujian, mereka mampu memberikan yang terbaik. Tahniah dan syabas kepada pelajar dan ahli keluarga mereka.”

Antara yang mendapat kelulusan terbaik adalah Nur Kamilia binti Karim dari SMK Sama Gagah dengan 9A. Beliau yang bercita-cita untuk menjadi doktor gigi akan menyambung pengajian di UIA.

“Belajarlah dengan bersungguh-sungguh dan jangan mudah berputus asa dalam pengajian. Jangan lupa untuk berbakti kepada masyarakat dan keluarga setelah tamat pengajian kelak.

“Setinggi mana pun pencapaian kita, janganlah kita lupa akan asal usul kita”, nasihat Faiz kepada para pelajar.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )