Hamzah petik nama “Tuanku” untuk angkat “budak kita” bukti percaturan jijik

Hamzah petik nama “Tuanku” untuk angkat “budak kita” bukti percaturan jijik

Pemuda Pakatan Harapan (PH) akan membuat laporan polis terhadap Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang didakwa mengaitkan institusi diraja dalam perbualan audio beliau dengan seseorang membabitkan kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam polis.

Ketua Pemuda PH Sazni Munir Mohd Ithnin berkata, laporan polis akan dibuat pada 11 pagi Selasa depan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.

Ini susulan Hamzah mengakui suara dalam rakaman yang tular di media sosial berhubung pelantikan ketua polis negeri, adalah milik beliau, kata Sazni.

“Jika diamati butir demi butir audio yang tular, jelas Hamzah telah memetik nama ‘Tuanku’ sebagai justifikasi untuk menaikkan pangkat anggota PDRM yang mahu dipilihnya.

“Tanpa segan silu menggunakan panggilan ‘budak kita’, Hamzah jelas telah berlaku biadab dengan menyalahgunakan nama ‘Tuanku’, sekaligus menghina dan mengheret institusi Raja Berperlembagaan untuk kepentingan politik.

“Kita mahu penghinaan dan cubaan untuk mengheret nama ‘Tuanku’ itu disiasat setelus-telusnya,” kata Sazni.

Tambah Sazni, menteri masih tertakluk kepada undang-undang.

“Jawatan itu bukan tiket untuk disalah guna, apatah lagi dijaja seolah-olah perlakuan salah itu direstui payung negara,” kata beliau dalam kenyataan.
.
Beliau juga menyifatkan pengakuan Hamzah sebagai angkuh.

“Malah dengan semberono pula mengaku bahawa itu adalah sebahagian daripada ‘skop kerja’,” kata Sazni.

Terdahulu, Hamzah yang mengakui suaranya dalam rakaman audio tular tersebut menegaskan beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan, sebaliknya menyifatkan tindakan merakam perbualan orang lain sebagai satu kesalahan.

Rakaman audio disunting bersama video berdurasi 1 minit 22 saat itu tular sejak beberapa hari lalu, dan ada menyebut mengenai lantikan seseorang yang berasal dari Ipoh, Perak. – FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )