Hannah Yeoh gesa MKN hentikan sebaran SMS “propaganda”, bazirkan wang negara

Hannah Yeoh gesa MKN hentikan sebaran SMS “propaganda”, bazirkan wang negara

Hannah Yeoh (PH-Segambut) menggesa supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak mensia-siakan sistem mesej ringkas (SMS) dengan pesanan yang retorik.

Sebaliknya, dia mencadangkan supaya MKN menggunakan platform tersebut untuk menyampaikan maklumat yang diperlukan dan mendidik rakyat.

Antaranya seperti apa yang perlu dilakukan sekiranya seseorang mendapati ahli keluarga mereka didapati positif Covid-19, tempoh kuarantin, bagaimana cara untuk melakukan penilaian Covid-19 (CAC) secara dalam talian dan sistem pengudaraan yang selamat dalam premis.

“Kita rasa platform SMS KKM ni tak digunakan dengan berhemah dan mereka mensia-siakan dengan pelbagai retorik sampai macam it’s a nagging SMS.

“Saya bagi contoh pada 16 julai 2021, mereka menghantar SMS ini; ‘kerajaan terus membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19 menerusi bakul prihatin negara. Inisiatif terbaru bersama sektor korporat.

“Itu saja SMS itu. Dia langsung tak beritahu kita apa maklumat yang diperlukan dan saya lihat ia berbunyi propaganda SMS MKN ini dan bazirkan duit rakyat,” katanya pada satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Dia turut bertanya berapakah peruntukan yang telah dibelanjakan untuk pesanan SMS tersebut.

Yeoh turut meminta supaya MKN memberikan maklumat mengenai bagaimana varian Delta dapat menjangkiti orang ramai, memandangkan gejalanya tidak sama seperti jangkitan virus Covid-19 sebelum ini.

“Dalam Telegram dan Facebook ada tapi bukan semua orang ada Telegram dan bukan semua rakyat tahu guna Facebook.

“Kita (patut) masukkan simptom sekarang sudah berubah, bukan lagi demam. ‘Jika anda mempunyai simptom ini, hubungi klinik kesihatan yang paling hampir,” katanya memberi contoh mesej yang sepatutnya disampaikan.

Pada masa sama, dia turut meminta supaya terdapat pembaharuan dan kemas kini prosedur operasi standard (SOP).

Menurutnya, pemeriksaan suhu badan contohnya tidak lagi relevan kerana gejala varian Delta tidak semestinya menunjukkan gejala demam.

“Banyak kes positif tiada gejala. Jadi kita tak memperbaharui SOP ini dan di kalangan masyarakat kalau kita lihat kesian mereka…masih ikut buta-buta dan ini memberikan satu jaminan keselamatan palsu,” katanya. MK

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )