Isteri menteri “sound” peniaga bazar cetuskan penularan Covid-19

Isteri menteri “sound” peniaga bazar cetuskan penularan Covid-19

Orang ramai dilihat tidak puas hati dan berang dengan isteri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang seolah-olah menyalahkan peniaga bazar Ramadan ekoran penularan Covid-19.

Datin Norlin Shamsul Bahri yang juga pesakit Covid-19 tahap dua mengingatkan agar penjual di bazar Ramadan tidak hanya memikirkan perniagaan mereka sahaja.

“Jangan fikir nak keuntungan besar, peringatan kerajaan korang anggap fishy. Don’t be selfish.

“Korang tak rasa (dijangkiti Covid-19) bolehlah cakap macam itu. Please be considerate. Covid is pandemic. Bukan propaganda kerajaan ke apa,” katanya.

Norlin turut mengulangi peringatan keras kepada golongan peniaga dan menegaskan wang tidak boleh dibawa mati.

“Beringatlah. Kalau tak nak kena Covid-19 hati-hati. Yang berniaga mulut jangan celupar sangat. Allah mendengar.

“Duit tak boleh bawa mati tapi Covid-19 boleh bawa mati,” ujarnya lagi dari wad 9D Hospital Sungai Buloh dalam hantaran di Facebook yang tular di media sosial.

Terdahulu, Norlin yang juga Penaung Puspanita Cawangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu memaklumkan suaminya menghidap Covid-19 tahap tiga.

Sehubungan itu, warganet mengecam kenyataan isteri Setiausaha Bersatu Pahang yang juga bekas wakil rakyat PKR berkenaan.

“Kenapa tak cerita pasal menteri-menteri buka puasa sana-sini? Selebriti buat majlis ramai ramai.

“Janganlah menuding jari ke penjual bazaar saja, kak oi,” tempelak pengguna Twitter Mazlina Tahir.

Tidak kurang juga yang mengingatkan kembali Norlin bahawa operasi bazar Ramadan adalah atas kebenaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai suaminya sendiri.

“Salah laki sendiri tak nampak. Salah peniaga bazar nampak. Laki bini sama naik benak,” bidas seorang pengguna Twitter lagi.

Sebelum ini, kerajaan PN membenarkan bazar Ramadan dan Aidilfitri beroperasi dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Majlis Keselamatan Negara (MKN) antara lain mengingatkan agar penganjur bazar memastikan pergerakan keluar masuk pelanggan terkawal dengan penjarakan satu meter dan menanda tempat beratur serta peniaga serta pengunjung wajib memakai pelitup muka ketika berada di bazar.

Walau bagaimanapun, Kelantan dan Sabah sama sekali tidak membenarkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini ekoran peningkatan kes Covid-19. – MD

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )