Kenapa rakyat perlu sibuk-sibuk mahu tahu nama kerajaan ini?

Kenapa rakyat perlu sibuk-sibuk mahu tahu nama kerajaan ini?

Semua pihak perlu menghentikan polemik tentang nama kerajaan hari ini.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal berkata, malah rakyat pun tidak memikirkan tentang isu nama kerajaan tetapi mahukan hasil dari pemerintahan.

Menurutnya, perkara utama yang kerajaan harus lakukan ketika ini ialah membangunkan kembali negara dan mengelak daripada bercakap soal politik.

“Saya menghormati pandangan yang mengatakan kerajaan ini adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ini kerana kerajaan sekarang masih mengekalkan barisan Kabinet dan komposisi parti yang hampir sama.

“Cuma yang paling utama ialah barisan Kabinet harus lebih memberi tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan membawa negara keluar dari musibah Covid-19,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program menyantuni masyarakat di Kampung Parit Haji Napis dekat sini hari ini.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang juga Timbalan Menteri Perpaduan berkata, parti itu mendokong aspirasi pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, ini kerana usul kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi telah diluluskan di Dewan Rakyat.

“Kita harap di bawah kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yakob, suara anak muda dapat diperkasakan menerusi undi 18 tahun,” katanya.

Usul kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 dan mendapat sokongan 211 daripada 222 Ahli Parlimen. – UTUSAN

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )