Keputusan di Melaka bukan ukuran tepat PRU15

Keputusan di Melaka bukan ukuran tepat PRU15

KUALA PILAH: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak boleh digunakan sebagai petunjuk yang situasi serupa boleh berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM-Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith, berkata keputusan PRN Melaka tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kerana banyak faktor yang mempengaruhinya kelak.

“Jika kita hendak jadikan keputusan PRN Melaka itu sebagai petunjuk bahawa situasi serupa dapat diterjemahkan pada PRU-15, ia terlalu awal.

“Banyak faktor mempengaruhi situasi PRU-15 nanti termasuk kadar pengundi baharu yang semakin bertambah ketika ini.

“Bilangan pengundi baharu ketika ini dilihat semakin ramai dan melonjak naik, mereka ini adalah antara faktor penentu keputusan PRU-15 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tanjong Ipoh Ke-42 dan Perjanjian Persefahaman (MoU) antara PPK itu dengan usahawan, di Seri Menanti Resort, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti merangkap Pengerusi PPK Tanjong Ipoh, Datuk Abdul Samad Ibrahim.

Eddin Syazlee yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU berkata, keputusan PRN Melaka itu tidak akan menjejaskan fokus dan persiapan BERSATU menghadapi PRU-15.

Beliau berkata, keputusan berkenaan tidak akan mematahkan semangat kepemimpinan dan ahli parti itu untuk bekerja lebih kuat bagi mencari lebih banyak sokongan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata, BERSATU sedar UMNO mungkin tidak akan melantik dua ADUN PN menjadi EXCO kerajaan Melaka.

“Saya fikir UMNO tidak perlu mereka dalam keadaan sekarang kerana mempunyai banyak pilihan (untuk dilantik sebagai EXCO). Itu terpulang kepada kerajaan membuat keputusan.

Pada PRN Melaka Sabtu lalu, dua ADUN PN yang memenangi kerusi DUN masing-masing ialah Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban) dan Dr Mohd Aleef Yusof di kerusi Sungai Udang.–BH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )