Kerajaan Muhyiddin tempat berhimpun ahli Parlimen khianat dan rakus

Kerajaan Muhyiddin tempat berhimpun ahli Parlimen khianat dan rakus

PERIKATAN NASIONAL : TINGGAL SATU RUMAH TIDUR BILIK BERASINGAN.

Rentetan dari Perhimpunan Agung UMNO yang lepas menyaksikan bagaimana sebuah gabungan yang sangat longgar dan punya agenda tikam menikam antara satu sama lain.

1. Dikala negara sedang berperang dengan pandemik Covid 19, BERSATU, UMNO dan PAS menghidangkan kepada rakyat drama yang penuh dengan pergaduhan dan pertelingkahan.
Bayangkan ketika kes pengangguran dikalangan rakyat semakin tinggi dianggarkan sudah mencapai 800,000 orang, penarikan pelaburan dari pelabur besar yang menyebabkan ekonomi rakyat semakin merudum, harga minyak yang naik, harga barang asas juga naik dan aktiviti vaksinasi Covid 19 yang belum diterima rakyat sepenuhnya parti didalam Perikatan Nasional yang memerintah negara sedang bergaduh sesama sendiri.

2. Inilah hasil dari tertubuhnya kerajaan tanpa pilihanraya yang tidak pernah berlaku didalam Malaysia. Ketika pilihanraya umum yang lepas (Pru 14)
Ketiga tiga parti ini berlawan sesama sendiri, tetapi apabila rakyat telah membuat keputusan majoriti mengangkat Pakatan Harapan sebagai pengganti Barisan Nasional, penjahat penjahat politik ini berbincang dibelakang untuk merampas hak dan mandat rakyat.
Syukurlah rakyat Malaysia ini sifatnya sangat mementingkan keharmonian, jika berlaku di negara lain seperti Indonesia, Thailand, Myanmar dan negara negara lain pastinya berbondong rakyat turun kejalanan memprotes tindakan jijik penjahat politik ini dan mempertahankan hak dan mandat yang mereka telah putuskan.

3. Apabila UMNO membuat keputusan untuk meninggalkan Perikatan Nasional dan BERSATU, maka ia mengesahkan bahawasanya rumah Perikatan Nasional ini hanyalah rumah yang dibina rapuh. Penghuninya saling curiga mencurigai dan sampai masanya mereka tidak lagi boleh bersabar. PAU ini membuktikan UMNO sudah hilang sabar dan tidak boleh lagi hidup bersama dengan Perikatan Nasional. UMNO lupa mereka juga terlibat menjahanamkan kerajaan pilihan rakyat. Dan untuk menutupi kebobrokan mereka maka mereka meletakkan kesalahan ini kepada BERSATU. UMNO juga lupa sebelum Pilihanraya ke 14 mereka terpalit dengan skandal kewangan Mega 1 MDB yang terkenal seluruh dunia sehingga merosakkan ekonomi dan nama baik negara. ‘Apa Malu Bosku’ inilah slogan yang membuat mereka hilang rasa malu walaupun telah dibuktikan di mahkamah mereka ini bersalah. Seperti meludah ke langit jatuh semula kebatang hidung sendiri.

4. PAS sebuah parti yang dahulunya lantang memperjuangkan Islam dan dihormati rakyat dengan ketegasan mereka memperjuangkan islam juga terpalit. Islam tidak mengajar untuk mengkhianati rakyat bahkan Islam mengangkat hak rakyat sebagai keutamaan.
UMNO melihat PAS seperti isteri yang curang. Siang bersama UMNO malam bersama BERSATU. Nikmat bersama UMNO dirasai nikmat bersama BERSATU disayangi. Maka PAS dipandang serong oleh UMNO. Presiden PAS hadir di PAU dan diberi kata dua. Samada bersama UMNO atau bersama BERSATU. Jelas kecurangan PAS ini sangat menyakitkan hati UMNO. Hilang sudah izzah Parti Islam ini apabila ada yang melabelkan PAS sebagai pelacur politik. Kesannya rakyat mula melihat segala slogan perjuangan Islam yang dibawa PAS adalah retorik dan modal semata mata mahu mendapatkan undi.

5. BERSATU dibawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang terumbang ambing. Strategi mereka untuk MEMBUNUH UMNO sudah pecah. Parti baru ini pada awalnya berlagak seperti parti teras didalam negara sedang menghadapi serangan hebat luar dan dalam. Perkongsian kuasa secara haram ini mengakibatkan BERSATU diambang bahaya. Musuh politik mereka semakin ramai dan bukan calang calang. Awalnya mereka membuat musuh dengan Tun Mahathir, Dato Seri Anwar Ibrahim, Mohammad Sabu dan Lim Kit Siang. Kini mereka menambah lagi musuh iaitu UMNO. Hayat BERSATU tidak akan lama apabila sentiasa mencari musuh. Politik ini memerlukan ramai kawan dan mengurangkan musuh tetapi tidak dengan BERSATU. Inilah sikap Yb Dato Seri Azmin Ali yang sangat suka mencari musuh. Dan kombinasi Muhyiddin Yassin, Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin inilah trio politik yang gemar bermusuh. Dengan rakyat juga mereka bermusuh. Lihat polisi mereka sehari dua ini dengan menyaman rakyat dengan nilai yang tinggi ketika rakyat sedang bertungkus lumus dalam kehidupan.

6. Senario yang dicetuskan oleh ketiga tiga parti berteraskan Melayu Islam ini sangat menggusarkan. Malaysia sedang berhadapan dengan situasi yang sangat bahaya. Oleh yang demikian rakyat perlu memikirkan semula naratif Melayu Islam yang dibawa mereka ini benar benar menguntungkan bangsa dan negara atau hanya menguntungkan kantung mereka sahaja. Rakyatlah yang berkuasa menentukan segalanya didalam negara sendiri.
Benar, perkara yang bermula dengan tidak baik hasilnya juga tidak akan baik.Merampas mandat rakyat hasilnya merosakkan rakyat!.

Maka pertelingkahan tiga parti ini hanya merosakkan lagi negara dan semestinya lah rakyat berhak untuk tidak bersama mereka dan label penjahat politik harus dianugerahkan kepada BERSATU PAS dan UMNO. Mereka inilah sebenarnya yang merosakkan negara yang kita cintai ini. PAU ini menyerlahkan segala kepincangan mereka.

Terima kasih UMNO!!..

Abbas Azmi
Ahli Jawatankuasa Pemuda AMANAH Nasional
30 Mac 2021

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )