“Kerajaan U-Turn lagi”, tidak tahan dikritik oleh rakyat “SOP merepek”!

“Kerajaan U-Turn lagi”, tidak tahan dikritik oleh rakyat “SOP merepek”!

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini menangguhkan serta-merta pelaksanaan penguatkuasaan had masa dua jam bagi pengunjung pusat beli-belah.

Menterinya Alexander Nanta Linggi berkata, penguatkuasaan Ops Had 2J itu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Bagaimanapun, SOP perintah kawalan pergerakan 3.0 yang lain masih terus dikuatkuasakan.

“Kementerian berharap pengguna dan pengunjung premis perniagaan akan terus merancang perbelanjaan dan perjalanan bagi mengurangkan kesesakan di premis perniagaan yang boleh menyebabkan penularan Covid-19 meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Pada 25 Mei lalu, KPDNHEP mengetatkan SOP dengan menguatkuasakan had dua jam bagi setiap pengunjung premis peruncitan.

Tindakan itu mendapat kritikan pelbagai pihak dan mendakwa pelaksanaan SOP itu tidak membantu mengekang penularan Covid-19.

Sementara itu, Nanta berkata, kementerian memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan di seluruh negara stabil dan mencukupi ketika fasa “lockdown”.

“Adalah menjadi harapan KPDNHEP bahawa semua pihak terutama peniaga dan pengguna bersama bertanggungjawab memastikan keselamatan dan kesihatan melalui kawalan kendiri dan mengikuti SOP serta tidak melakukan pembelian panik supaya bekalan barang keperluan asas di seluruh negara terus berada pada tahap stabil dan mencukupi,” katanya. -FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )