KJ macam tiada fungsi, kerajaan nak lantik pula penasihat khas kesihatan PM

KJ macam tiada fungsi, kerajaan nak lantik pula penasihat khas kesihatan PM

PETALING JAYA: Penasihat Khas Kesihatan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob masih dalam proses lantikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad.

Menjawab pertanyaan Amiruddin Hamzah (Pejuang-Kubang Pasu), beliau berkata, dua lagi penasihat khas sudah dilantik sebelum ini membabitkan undang-undang dan hak asasi manusia dan agama masing-masing diisi oleh Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Jamil Khir Baharom.

Latiff berkata, anggaran kos bulanan bagi satu pejabat penasihat khas termasuk pegawai adalah RM50,000.

“Kos ini termasuklah bayaran gaji dan emolumen penasihat khas serta pegawai yang dilantik bagi menguruskan hal ehwal dasar dan operasi di pejabat berkenaan.

“Penasihat-penasihat yang dilantik ini adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai jaringan hubungan, pengalaman dan kepakaran dalam hal-hal berkaitan dengan skop tugas mereka yang boleh memberi faedah kepada usaha pembangunan negara selari dengan konsep Keluarga Malaysia,” katanya.

Baru-baru ini, seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan rasional Ismail menambah kos kerajaan dengan melantik penasihat walaupun beliau sudah mempunyai menteri yang mampu melaksanakan tanggungjawab sama.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berkata, pelantikan Ketua Umno Kedah Jamil Khir Baharom sebagai Penasihat Agama dilakukan ketika negara berdepan krisis ekonomi.

“Adakah Ismail tidak menaruh kepercayaan kepada Jemaah Menteri untuk memberi maklum balas yang diperlukan atau adakah mereka langsung tidak kompeten?

“Sekiranya mereka tidak mampu menunjukkan prestasi baik, sekurang-kurangnya mereka mempunyai pegawai yang boleh memberi nasihat kepada Perdana Menteri. Justeru, ia hanya membuktikan Ismail tidak lagi yakin dengan sesiapa pun dalam Kabinetnya,” katanya di Dewan Rakyat.–FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )