KKM jangan tutup kesalahan dengan alasan yang direka-reka – Tony Pua

KKM jangan tutup kesalahan dengan alasan yang direka-reka – Tony Pua

Berhenti beri “alasan separuh masak dan ramalan bersifat spekulatif” kepada rakyat ketika menyampaikan data Covid-19, seorang Ahli Parlimen memberitahu Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Sebaliknya, kata Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, KKM sepatutnya menunjukkan profesionalisme dan tidak menutup kesalahan dengan “hujah dan alasan yang diada-adakan”.

Pua daripada DAP berkata, ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 mula berkuat kuasa pada 23 Mei, rakyat diberitahu jumlah kes akan berkurangan jika mereka mengorbankan mata pencarian mereka dengan duduk di rumah.

Namun jumlah kes tidak menurun dan kerajaan mengumumkan sekatan pergerakan penuh sementara bilangan kes positif kekal “liat”, mengakibatkan sekatan penuh dilanjutkan dua minggu lagi.

“Ia jelas tidak berkesan kerana (dengan) lanjutan PKPD dua minggu yang dikenakan ke atas Lembah Klang bermula 3 Julai, Malaysia mencatatkan rekod tertinggi (jangkitan) dengan 13,215 kes Covid-19 semalam,” katanya dalam kenyataan.

Senario ini katanya, jelas membuktikan KKM gagal menjalankan tugasnya mengawal penularan jangkitan ketika rakyat menderita dalam diam, kehilangan pendapatan dan mata pencarian.

Dua hari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak sekatan pergerakan penuh berkuat kuasa pada 1 Jun, Malaysia berjaya mendatarkan lengkungan daripada 9,020 kes kepada 5,000 dan 4,000 kes. Bagaimanapun jumlah kes meningkat lagi disebabkan varian baharu Covid-19.

Pua berkata, beliau berasa sangat tidak selesa apabila pegawai kesihatan paling kanan di negara ini tidak sepenuhnya bercakap benar dan “memanipulasi angka”.

“Hisham bersikap selektif dan manipulatif dengan statistiknya. Pada 1 Jun, ketika sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan, jumlah kes yang dicatat adalah 7,105, sementara jumlah pada 31 Mei adalah 6,824. Purata jumlah kes bagi minggu sebelum 1 Jun adalah 7,680, bukan 9,020,” kata Pua.

Beliau berkata, jumlah kes tidak pernah turun menjadi 5,000 dan 4,000 kerana dalam tempoh 10 hari seterusnya, ia turun naik antara setinggi 8,209 dan serendah 5,271 kes.

“Jadi bagaimana KP Kesihatan boleh mencapai kejayaan ‘ajaibnya’ dengan mengurangkan jumlah kes daripada 9,020 menjadi 4,000 dalam tempoh 10 hari selepas sekatan pergerakan penuh (berkuat kuasa)?

“Sekalipun tepat, KP Kesihatan (menunjukkan sikap) tidak bertanggungjawab dengan memetik angka-angka ini kerana beliau gagal mengambil kira impak pengurangan ujian kepada pengurangan jumlah kes,” kata Pua.

Beliau berkata, pada minggu-minggu sebelum sekatan pergerakan penuh (23 hingga 29 Mei), purata 109,601 ujian dijalankan setiap hari.

Bagaimanapun, purata ujian harian dari 6 hingga 12 Jun menurun sebanyak 17.9% kepada hanya 89,985.

Katanya, kadar positif antara minggu-minggu berkenaan hanya menunjukkan penurunan marginal dari 6.96% menjadi 6.61%.

Ini bermakna penurunan kes adalah kesan langsung daripada pengurangan ujian, bukan penurunan jangkitan, tambahnya.

“Adakah Hisham fikir beliau boleh terlepas dengan tidak menyampaikan kebenaran sepenuhnya dan memanipulasi statistik untuk mempertahankan prestasi kementeriannya kerana rakyat mudah tertipu dan tidak boleh mengira?”

Pua berkata, Hisham perlu melaporkan fakta secara profesional.

“Jangan beri rakyat alasan separuh masak dan unjuran (bersifat) spekulatif,” katanya.

“Sebaliknya beri kami rancangan yang tepat bagaimana kementerian akan meningkatkan ujian secara sistematik, sasaran pengurangan kadar positif yang ingin kita lihat, serta langkah konkrit lain untuk menaik taraf dan memperluas kemudahan dan sumber daya kita untuk melawan Covid-19,” katanya. FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )