Langkah Sheraton 2.0 : Azmin dan Zuraidah bakal “kuburkan” Bersatu?

Langkah Sheraton 2.0 : Azmin dan Zuraidah bakal “kuburkan” Bersatu?

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah ditumbangkan melalui “Langkah Sheraton” pada awal tahun 2020 yang disusun oleh individu di dalam PH sendiri. Nama-nama yang dikatakan terlibat menjadi pencatur utama adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Insiden yang sama juga kini disebut kembali apabila sekali lagi dua nama tersebut dikaitkan dengan tindakan licik di dalam pembentukan Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Kemasukan beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) telah memberi tamparan hebat kepada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Bahkan, dengan kewujudan PBM ini juga mencetuskan tanda tanya adakah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin juga bakal menyertai PBM selepas ini.

Zuraida sebelum ini pernah dilapor tidak menolak menyertai PBM apabila ditanya sekiranya beliau akan mempertimbangkan untuk memimpin parti itu tahun lalu.

Dapat dilihat juga apabila pemegang jawatan dalam PBM yang baru ditubuhkan ini adalah mereka yang rapat dengan Mohamed Azmin dan Zuraida sebelum ini.

Bagaimanapun, sekiranya Mohamed Azmin dan Zuraida menyertai PBM selepas ini, ia memberikan kesan yang besar kepada kedua-dua ahli politik berkenaan.

PBM dikhabarkan bakal menjalinkan kerjasama strategik bersama Barisan Nasional (BN) dalam PRU-15 nanti yang dilihat mempunyai akar umbi yang lebih kuat berbanding Bersatu.

Jadi, adakah ia akan memberi kelebihan kepada Mohamed Azmin dan Zuraida jika mereka menyertai parti baharu ini?

Dari segi Bersatu pula, jika Mohamed Azmin dan Zuraida menyertai PBM, ia akan memberi tamparan kepada parti berkenaan kerana kekurangan pemimpin yang berpengaruh, malah Bersatu kian kehilangan pengaruh diperingkat akar umbi sejak kekalahan mereka di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dengan ketiadaan pemimpin asal Bersatu semasa ia ditubuhkan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Dr Maszlee Malik, Bersatu hanya mengharapkan pengaruh Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) semata-mata.

Perkara ini dapat dilihat dengan jelas semasa PRN Melaka pada tahun lalu apabila PN hanya mempertaruhkan potret Muhyiddin di negeri berkenaan.

Tindakan itu hanya menyebabkan PN menerusi Bersatu hanya menang dua kerusi daripada 28 kerusi yang ditandingi.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )