LTDL bakal kembali tahun 2022

LTDL bakal kembali tahun 2022

SEPANG – Setelah edisi 2021 dibatalkan berikutan pandemik Covid-19, perlumbaan jelajah berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali menemui peminat dan menggegar jalan raya negara tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengesahkan perkara berkenaan berkata, beliau yakin pihak penganjur telah bersedia untuk menganjurkan jelajah elit Asia itu tanpa sebarang masalah walaupun tarikh belum diputuskan.

Beliau turut mengesahkan bahawa syarikat Human Voyage (M) Sdn Bhd, yang sebelum ini ditawarkan kontrak penganjuran selama tiga tahun bermula 2019, akan meneruskan penganjuran pada 2022 kerana edisi 2021 terpaksa dibatalkan.

“Saya berharap pada tahun hadapan tiada masalah besar dan penganjur juga telah bersiap sedia untuk menganjurkan LTdL 2022 dengan penuh meriah di seluruh negara. KBS bersedia salurkan peruntukan (untuk penganjuran).

“Kita ada kontrak dengan pihak penganjur, tahun lepas tidak diadakan, jadi kena penuhi kontrak itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas menghantar peserta ke Kejohanan Dunia M3 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) di Singapura.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab pada minggu lepas berkata, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) telah memberikan pilihan tarikh penganjuran pada Januari dan Mac depan, dengan 16 pasukan dikatakan telah menyatakan minat untuk menyertai jelajah itu.

Menurut laman sesawang UCI, LTdL disenaraikan untuk penganjuran bermula 16-23 Jan depan.

LTdL dianjurkan setiap tahun sejak 1996, berjaya dianjurkan untuk edisi Jubli Perak pada Februari 2020, sebelum pandemik Covid-19 yang menjejaskan sektor sukan dunia bermula Mac tahun itu.–SH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )