MEMALUKAN | Puad bidas sikap pemimpin Pas yang munafik dan perosak Islam

MEMALUKAN | Puad bidas sikap pemimpin Pas yang munafik dan perosak Islam

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan sikap pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama wakil rakyat Pas berhubung pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu berpendapat Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi PN negeri sepatutnya tidak perlu memberi alasan berhubung isu memandu uji sebuah kenderaan di sebuah pusat pameran dan jualan di Autocity, Juru di Bukit Mertajam.

“Walaupun bukan dia yang memandu, tetapi pusat jualan kereta dan aktiviti pandu uji tidak dibenarkan beroperasi semasa lockdown (sekatan pergerakan penuh),” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.

Untuk rekod, polis sedang menyiasat Sanusi di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Pihak berkaitan selain Sanusi juga penjual kereta dan mereka yang berada di sana akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Puad yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu turut mengaitkan isu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang telah ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Perasing, Kemaman pada 16 Mei lalu.

Walaupun Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menafikan, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik mengesahkan, pihaknya ada memeriksa kenderaan yang dinaiki Mohd Khairuddin ketika melalui SJR Perasing pada tarikh itu.

“Sebelum ini seorang Menteri nafi dia ditahan polis dalam operasi SJR. Masalahnya Ketua Polis Terengganu sahkan insiden itu dan siasatan diambil alih oleh Bukit Aman,” katanya.

Dalam masa sama, Puad turut membangkitkan insiden Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu tidak memakai pelitup muka apabila masuk ke lobi hotel Zenith Johor Bahru pada 31 Mac lalu.

“Bahkan, hingga hari ini tiada penjelasan oleh mana-mana pihak… Apakah itu ‘attitude’ pemimpin PN.

“Nafi, diam diri dan saman. Mereka seperti yakin akhirnya rakyat akan senyap dan melupakannya.

“Ingatlah, keindahan Islam itu diteladani, bukannya jadi pelindung kemunafikan,” bidas Puad lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )