Menteri Agama “mengamuk” rakyat selalu jadikan dirinya sasaran berkait isu agama

Menteri Agama “mengamuk” rakyat selalu jadikan dirinya sasaran berkait isu agama

Letih dengan sikap masyarakat yang secara membabi buta meletakkan setiap kesalahan melibatkan perkara berkaitan agama ke bahunya, Menteri Agama, Senator Idris Ahmad beberapa hari lepas meluahkan kekecewaan mengenai sikap tersebut di hadapan wartawan.

“Masyarakat ingat semua perkara di bawah menteri agama tetapi kuasa mendakwa tidak ada di bawah menteri agama dan tidak ada pada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jakim hanya boleh minta pihak berkuasa agama negeri terlibat untuk bertindak.

“Insya-ALLAH mereka responsif untuk membetulkan pemahaman sedemikian sama seperti seperti kes Perjalanan Mimpi Yang Terakhir di Selangor dan Raja Bomoh di Perak,” katanya.

Sebelum itu, dia mengulas isu wanita yang mendakwa berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW di sebuah hotel di Makkah yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurutnya lagi, wanita itu akan dipanggil menjalani sesi kaunseling di pejabat agama negeri yang terlibat bagi membetulkan pemahaman wanita berkenaan.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan video seorang wanita mendakwa telah berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW di sebuah hotel di Makkah.

Melalui rakaman secara langsung itu, wanita itu memberitahu, baginda mendoakan kebaikan buat rakyat Malaysia selain turut menyebut nama isteri nabi, Siti Khadijah dan anak baginda, Fatimah Az-Zahra.

Bagaimanapun, seorang waris kepada wanita berkenaan tampil membuat permohonan maaf dan menjelaskan wanita itu berada dalam keadaan kecelaruan.

Idris menjelaskan, kes itu dirujuk kepada pejabat agama negeri berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Jika kita tahu lokasi wanita berkenaan, kita minta pejabat agama negeri terlibat memanggil beliau untuk sesi kaunseling.

“Saya faham dalam keadaan langit terbuka semua orang boleh bercakap. Jika dahulu, penulis kolum akhbar akan disemak oleh editor tetapi sekarang semua boleh jadi wartawan, jurugambar, penerbit dan tukang cetak,” katanya ketika ditemui di Majlis Pengumuman Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan di Wisma Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di Taman Shamelin di sini pada Isnin.

Beliau menasihatkan masyarakat mempelajari ilmu agama dengan pihak yang bertauliah bagi mengelak kekeliruan dan terpesong akidah.

PANAS!! Ku Rafidah mahu jumpa Mufti Perlis, bawa wasiat dari Nabi

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )