MP Pembangkang patut dikompaun bukti tiada “double standard” kerajaan

MP Pembangkang patut dikompaun bukti tiada “double standard” kerajaan

Kerajaan tidak ada pilihan kecuali mengenakan kompaun ke atas ahli parlimen pembangkang yang cuba berarak untuk masuk ke parlimen pada 2 Ogos lalu, kata Hamzah Zainudin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata kerajaan tidak mahu mengamalkan pelaksanaan undang-undang dua darjat yang membezakan ahli parlimen dengan orang lain.

Ketika itu katanya prosedur operasi standard menyatakan tiada sebarang perhimpunan boleh diadakan di mana-mana tempat.

Bagaimanapun kata Hamzah berdasarkan semangat kerjasama di antara kerajaan dan pembangkang, serta perbincangan dengan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, jumlah kompaun itu akan diturunkan untuk sama seperti dibayar rakyat biasa.

Justeru kata Hamzah, daripada RM3,000 seorang kompaun berkenaan akan diturunkan menjadi RM1,000 saja.

“Kerajaan masih perlu mengenakan kompaun kerana tidak boleh ada dwistandard di antara ahli parlimen dan rakyat lain yang turut mengadakan perhimpunan.

“Maka kerajaan terpaksa (mengenakan kompaun ke atas ahli parlimen)…. saya minta maaf,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Hamzah berkata demikian sebagai menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bertanya siapakah mengeluarkan arahan kepada polis agar menyekat ahli parlimen memasuki bangunan tersebut.

Pada hari berkenaan hampir semua ahli parlimen pembangkang berkumpul berhampiran kawasan Dataran Merdeka untuk bergerak ke parlimen pada hari yang sepatutnya sidang terakhir Dewan Rakyat.

Bagaimanapun mereka kemudian dihalang oleh polis.

Ketika itu kerajaan pimpinan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menunda sidang Dewan Rakyat – yang sebelum itu didesak oleh pelbagai pihak termasuk Istana Negara – atas alasan wujud ancaman Covid-19 di parlimen.

Menurut Hamzah pada waktu tersebut ada hampir 200 orang dikesan positif Covid-19 justeru semua individu termasuk ahli parlimen tidak dibenarkan memasuki bangunan parlimen.

Ahli parlimen Larut itu menambah, tidak timbul isu siapa yang memberikan arahan kepada polis kerana pasukan keselamatan berkenaan bertindak mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang memberikan kuasa kepada mereka menguatkuasakan peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) juga menyatakan pada hari tersebut dia dalam perjalanan ke pejabat yang disediakan kepadanya sebagai ketua pembangkang.

“Sejak bila pemimpin pembangkang dihalang daripada memasuki pejabat ketua pembangkang?” katanya.

Sementara itu Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun mengesahkan dia memberi arahan agar semua laluan masuk ke parlimen dibuka pada hari berkenaan, termasuk Dewan Rakyat.

“Sebenarnya parlimen tidak ditutup (pada 2 Ogos). Pada hari itu saya mengarahkan semua laluan dibuka termasuk pintu ke dewan yang mulia ini kerana saya tahu ada ramai ahli parlimen yang meninggalkan barang-barang mereka.

“Pejabat semua dibuka dan patut diberikan akses pada semua masa yang sepatutnya. Itu pendirian saya,” kata Azhar.

Bagaimanapun katanya berkenaan jalan masuk ke parlimen yang ditutut, ia adalah bidang kuasa polis dan dia tidak ada maklumat mengenainya. mk

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )