Muhyiddin “kantoi” tidak tahu perkembangan Hamas, dimalukan oleh pengguna Twitter

Muhyiddin “kantoi” tidak tahu perkembangan Hamas, dimalukan oleh pengguna Twitter

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak mengetahui perkembangan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang sejak tahun lalu berada di Doha, Qatar.

Ciapan di Twitter Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelang tengah hari tadi memaklumkan, Ismail berada di Semenanjung Gaza.

Walau bagaimanapun, dia membuat ralat pada jam 4 petang tadi dengan memaklumkan lokasi sebenar Ismail.

Pemberitahuan itu dilihat sejurus seorang pengguna Twitter, Ikhwan membalas ciapan tersebut.

“Ismail Haniyeh ada di Doha, Qatar. Bukan di Gaza. Beliau keluar dari Gaza atas isu keselamatan sejak 2020 lagi,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin berkata, dia telah menerima panggilan telefon daripada Ismail semalam yang disangkanya berada di Semenanjung Gaza, memaklumkan situasi semasa yang di Palestin, terutama di Gaza.

“Saya amat terkesan mendengar perkhabaran berhubung keadaan masyarakat Islam di Palestin, khususnya Semenanjung Gaza yang amat menyedihkan serta menyayat hati.

“Saya menzahirkan ucapan takziah dan dukacita bagi pihak seluruh rakyat Malaysia atas kehilangan nyawa serta kecederaan yang dialami rakyat Palestin akibat serangan ganas rejim Israel,” ujarnya.

Dalam masa sama, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menegaskan pendirian serta usaha-usaha yang telah dan sedang diambil Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

“Saya juga menyatakan komitmen Malaysia dalam mencari jalan untuk menghulurkan bantuan sewajarnya bagi membantu meringankan kesukaran rakyat Palestin.

“Saya juga berkongsi keprihatinan dan inisiatif yang dilakukan badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia serta rakyat Malaysia yang kini giat menganjurkan bantuan kemanusiaan serta bersolidariti penuh ke atas perjuangan rakyat Palestin pada waktu yang mencabar ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, sebahagian warganet mengkritik pendirian Muhyiddin termasuk menganggap tidak lebih hanya mengulang retorik negara Islam sejak 73 tahun lalu sejurus Palestin dijarah.

Ada juga yang mengecam sokongan Muhyiddin terhadap Penyelesaian Dua Negara atau ‘Two-State Solution’ berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967.

Muhyiddin menganggap hal tersebut sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel ketika Palestin sejak awal menolak keras pelan itu yang dianggap menafikan kedaulatan negara Palestin.

Untuk rekod, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 4 Disember 2012 telah meluluskan Resolusi 67/19 yang telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah ‘negara’ bukan Ahli PBB daripada status Pemerhati Tetap di PBB. – MD

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )