Muhyiddin tak layak diberikan jawatan – Nur Jazlan

Muhyiddin tak layak diberikan jawatan – Nur Jazlan

JOHOR BAHRU – Satu persatu episod kegagalan yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin membuktikan bahawa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu tidak layak diberi sebarang tanggungjawab atau jawatan lagi, kata Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan berkata, selepas gagal menjalankan amanah sebagai Perdana Menteri kelapan dan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin kini terpalit pula dengan isu pelantikan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, sebagai orang penting dalam parti dan kerajaan, Muhyiddin sepatutnya memikul penuh segala kegagalan itu dan bukannya menuding jari kepada orang lain.

“Semasa menjadi Perdana Menteri dan gagal, dia menyalahkan UMNO. Semasa dia meninggalkan UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan bersama Pakatan Harapan (PH), dia menyalahkan UMNO. Semasa dia ‘menumbangkan’ Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, dia menyalahkan UMNO juga.

“Dalam kes pelantikan (Tan Sri) Azam Baki pun dia menyalahkan orang lain untuk menutup kesalahannya.

“Tindakan mengelakkan tanggungjawab dan menyalahkan orang lain ini memang karakter utama beliau sebagai Perdana Menteri, Presiden Bersatu dan PN yang gagal,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, sekiranya Muhyiddin berjiwa besar, beliau sepatutnya terus meletak jawatan sebagai Pengerusi MPN dan Presiden Bersatu atas kegagalan-kegagalan tersebut.

Menurutnya, jika selama ini Muhyiddin sentiasa mempotretkan diri sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, beliau mesti berundur secara terhormat dan bukan menunggu dijatuhkan.

“Jika dia meletakkan jawatan sekarang ini, saya percaya rakyat akan memuji tindakan berjiwa besar seumpama itu,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam keadaan negara yang masih belum stabil dan pulih dari segi ekonomi, pemimpin-pemimpin yang bagus, efektif dan memiliki prestasi kerja cemerlang amat diperlukan.

“Hanya dengan cara ini sahaja baru Malaysia akan melalui proses pemulihan negara secara pantas,” katanya.–SH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )