PANAS | Nini Siron pertahan dakwaan lihat MB Kedah “test Raptor”!

PANAS | Nini Siron pertahan dakwaan lihat MB Kedah “test Raptor”!

Seorang wanita yang merakam gambar dan video individu didakwa Menteri Besar Kedah dan dua pembantunya menaiki kereta untuk dipandu uji di Juru Auto City, Sabtu lalu, menjadi sasaran pembuli siber dengan fotonya bersama keluarga, termasuk anak berusia lapan tahun, disebarkan secara meluas di media sosial.

Tetapi, Nini Siron, 36, tetap yakin dan berpegang kepada dakwaan beliau serta suami melihat Muhammad Sanusi Md Noor bersama beberapa individu membawa kereta untuk dipandu uji.

Bagaimanapun, Nini kesal kerana selain dituduh memfitnah Sanusi, warganet sanggup menyebarkan gambarnya, suami, anak dan kakaknya secara meluas di media sosial supaya mereka sekeluarga dikecam kerana catatan Facebooknya itu.

Dakwaan Nini terhadap Sanusi kini disiasat polis untuk memastikan sama ada Menteri Besar itu melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Sanusi memberitahu FMT, beliau menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan, tetapi setiausaha politiknya mendakwa Menteri Besar itu menjadi mangsa fitnah.

Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, Sanusi hanya “pi jengok kereta itu. Bukan pi nak beli”, dan tidak ada sebarang pandu uji kenderaan melibatkan Menteri Besar itu.

Nini bagaimanapun tidak berganjak daripada dakwaannya bahawa Sanusi memang terlibat dalam pandu uji itu dan video diambilnya adalah bukti.

Wanita itu berkata, beliau bukan ahli politik dan kesal apa yang disaksikannya itu dinafikan pihak tertentu sehingga memfitnahnya sekeluarga dengan pelbagai tohmahan dan ugutan di media sosial.

“Saya jarang ‘post’ apa-apa di Facebook. Saya bukan ahli politik, hanya rakyat biasa yang sudah muak dengan ‘lockdown’ berulang kali.

“Saya hanya meluahkan rasa marah kerana melihat orang tertentu jelas melanggar SOP ketika pandemik (Covid-19) mengganas. Ketika semua orang menanti untuk ‘lockdown’ 14 hari berakhir, ada pihak lain bertindak ikut suka hati.

“Itulah sebabnya saya catatkan apa yang saya lihat (di Juru Auto City), (saya hanya) ikut nasihat MKN untuk menjadi mata dan telinga mereka terhadap sesiapa yang melanggar undang-undang,” katanya kepada FMT.

Nini menafikan tuduhan di media sosial beliau memadamkan catatan dan gambar mengenai “pandu uji” berkenaan daripada Facebooknya.

Sebaliknya, beliau hanya mengehadkan akses catatan dan gambar itu kepada kenalannya, bagi mengekang kecaman bertali arus warganet yang tidak dikenali.

Suami Nini yang bekerja sebagai jurujual kereta, juga terpaksa menyahaktifkan “Facebook Page” yang mempunyai lebih 400 pengikut, selepas nombor telefon bimbit dan gambar pelanggannya tersebar. Telefonnya juga dibanjiri ratusan panggilan kebencian dan “spam” sejak semalam.

Telefon Nini Siron dihujani panggilan dan mesej daripada orang tidak dikenali susulan catatan di Facebooknya.
Nini sekali lagi menegaskan, beliau dan suami terserempak individu mirip Sanusi dan dua individu lain, termasuk jurujual kereta memasuki sebuah kenderaan yang dibawa untuk pandu uji.

Katanya, kenderaan itu kembali ke premis syarikat berkenaan kira-kira 14 minit kemudian.

Nini yakin orang yang dilihatnya adalah Sanusi, kerana beliau menanggalkan pelitup muka kira-kira dua minit sebelum memakainya semula.

“Apabila mereka kembali, saya keluar dari kereta dan bertanya jurujual itu sama ada beliau menyedari atau tidak menjadi kesalahan menawarkan kenderaan untuk dipandu uji ketika PKP berkuatkuasa. Dia menjawab ‘habis bagaimana saya mahu cari makan’?”

Katanya, beliau turut melihat Sanusi dan pembantunya memasuki kereta bernombor pendaftaran KEP 5000 yang tertera perkataan “Menteri Besar Kedah”.

Nini membuat laporan polis mengenai insiden itu pada hari sama dan mengemukakan video yang dirakam dengan telefon bimbitnya sebagai bukti.

“Saya mengambil keputusan tampil secara terbuka mempertahankan (dakwaan) saya ini kerana ramai menuduh saya melakukan fitnah. Saya tak boleh terima tuduhan (sebegitu). Saya bersumpah dengan nama Allah bahawa ia betul-betul berlaku.

“Saya amat kecewa kerana kami sekeluarga menjadi mangsa pembuli siber yang bertindak sewenang-wenangnya. Telefon saya berbunyi tak henti-henti dengan panggilan dan pesanan daripada orang tidak dikenali.

“Saya hanya rakyat biasa. Saya tidak meminta pingat kerana membuat pendedahan itu. Saya cuma memainkan peranan dalam mengekang Covid-19,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad, berkata siasatan dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Polis akan memanggil semua yang terlibat termasuk Menteri Besar,” katanya. – FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )