PANAS!! PRN Johor akan dilakukan selepas banjir reda – UMNO

PANAS!! PRN Johor akan dilakukan selepas banjir reda – UMNO

Kedudukan kerajaan negeri Johor yang sekadar berpaut pada majoriti tipis satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyebabkan keperluan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan dalam masa terdekat adalah begitu mendesak.

Ditambah dengan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad kini terpaksa bergantung kepada sokongan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas, Dr Chong Fat Full yang sebelum ini mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sokongan terhadap kerajaan negeri kini dianggap rapuh setelah kedudukan semasa kerusi DUN Johor menunjukkan 28-27 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN, susulan kematian bekas Menteri Besar Johor daripada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Allahyarham Datuk Osman Sapian pada Disember tahun lalu.

Berikutan itu, Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambrose membayangkan pelaksanaan PRN Johor kini sudah dianggap satu keperluan mendesak untuk diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau memahami perkara itu perlu ditangguhkan buat sementara waktu memandangkan Johor kini berdepan dengan isu banjir yang sedang menenggelami beberapa daerah.

“Bagi saya, PRN Johor tidak boleh dielakkan lagi kerana kerajaan hanya memiliki majoriti tipis satu kerusi DUN sahaja setelah kematian Allahyarham Datuk Osman (Sapian) dan keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri sedia ada menjadi sangat rapuh dan tidak selesa.

“Secara peribadi, sudah tentu saya mencadangkan PRN Johor diadakan segera, tetapi kita harus cakna dengan isu banjir yang melanda beberapa daerah di Johor seperti Segamat, Muar, Pontian dan Kota Tinggi ketika ini.

“Justeru, saya membayangkan PRN Johor mungkin akan diadakan selepas masalah banjir di negeri ini reda dengan kesemua mangsa banjir mendapat bantuan sewajarnya daripada pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Mengulas lanjut, Noor Azleen yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Pasir Gudang menegaskan keperluan PRN Johor diadakan segera juga mengambil kira situasi pihak pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) yang kini berada dalam keadaan paling lemah.

Jelas beliau, hal ini susulan PH kini berdepan dengan krisis kepimpinan susulan kekalahan teruk koalisi pembangkang itu pada dua PRN penting sebelum ini iaitu PRN Melaka dan Sarawak.

“Pada masa sama, pergerakan parti-parti lain dalam pembangkang seperti Pejuang juga agak perlahan susulan pengerusi parti itu, Tun Dr Mahathir Mohamad kini sedang menerima rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

“Selain faktor pembangkang lemah, keperluan PRN Johor disegerakan juga bersandarkan faktor BN Johor tidak mahu beban defisit sokongan rakyat terhadap kabinet kerajaan Pusat ketika ini mempengaruhi sokongan rakyat Johor terhadap kami,” ujarnya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )