Pas bersedia duduk bawah “tapak kaki” Umno atau sanggup diperkuda oleh Bersatu?

Pas bersedia duduk bawah “tapak kaki” Umno atau sanggup diperkuda oleh Bersatu?

Pas perlu bersedia duduk di bawah ‘tapak kaki’ Umno jika mereka masih memikirkan untuk bekerjasama dengan parti di bawah pimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, Pas ketika ini hanya diperalatkan Umno untuk memecahkan undi Pakatan Harapan (PH) demi untuk mencapai matlamat Umno sebagai parti dominan.

Namun katanya, Pas juga pastinya tidak akan membuat apa-apa pendirian sama ada mahu menyokong Umno atau Bersatu kerana mahu menjaga kedudukan dalam kerajaan.

“Tapi apa yang merisaukan bagi Pas ialah soal PRU-15 sama ada mahu dengan Umno atau Bersatu. Bersatu mengharapkan Pas sebab jentera Pas boleh diperkudakan oleh Bersatu.

“Tapi Pas pun tahu, Umno lebih kuat dari Bersatu. Kalau nak jamin kemenangan, kena sokong Umno.

“Tapi kalau nak dengan Umno, kena sedia duduk bawah tapak kaki Umno,” katanya ketika sesi siaran langsung di Facebook Jom Channel malam tadi.

Pada masa sama Khalid berkata, jika Pas merasakan mereka masih mempunyai maruah selepas disindir dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU), mereka pasti tak akan bersama dengan Umno.

Terdahulu, Ahmad Zahid dipercayai menyindir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa perhimpunan tahunan parti yang menolak kerjasama dengan Bersatu itu.

Dalam ucapannya mengenai Muafakat Nasional (MN), Zahid mengingatkan rakan sekutunya, Pas supaya tidak lupa bahawa melalui pemuafakatan itu mereka memenangi tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK).

Beliau menegaskan, sokongan kepada PN hanyalah untuk menyokong pembentukan kerajaan, namun tidak disangka Pas cuba membentuk gabungan parti politik tanpa Umno.

Beliau juga berkata, setelah menyertai sebahagian daripada kerajaan, tiba-tiba pendirian politik Pas telah mula berubah.- MD

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )