“Penjilat politik penyebab negara huru-hara” pelakon terkenal bersuara

“Penjilat politik penyebab negara huru-hara” pelakon terkenal bersuara

Melihat situasi semasa pandemik Covid-19, pelakon terkenal Amerul Affendi berpendapat, apa yang berlaku berpunca daripada “penjilat-penjilat” politik.

Katanya dengan adanya golongan terbabit pihak yang berkenaan tidak akan sedar diri, sekali gus masalah penularan wabak berbahaya itu terus sukar dikawal.

“Selagi ada penjilat-penjilat ahli politik, selagi itu mereka tak akan sedar diri. Kerana nak perut sendiri je kenyang, yang lain mati itu semua tak menjadi hal,” katanya di Twitter.

Mengiringi ciapan pembawa watak Adi dari filem One, Two, Jaga itu ialah paparan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai jumlah pesakit baru Covid-19.

Semalam Malaysia mencatat rekod kes positif tertinggi harian apabila seramai 9,353 orang disahkan dijangkiti wabak berkenaan menjadikan secara keseluruhan sebanyak 827,191 kes direkodkan KKM.

Daripada jumlah itu 84,021 kes masih aktif dengan 959 orang ditempatkan di unit rawatan rapi. Seramai 451 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Jumlah kematian pula – setakat semalam – ialah 6,067 orang.

Ia berlaku ketika sistem kesihatan awam di negara ini terus menjadi kebimbangan ramai dan semakin ramai kakitangan perubatan mengalami kelecuhan (burnout).

Pada masa sama Amerul Affendi menitipkan nasihat buat orang ramai, khususnya golongan yang “teraniaya”.

“Bertabahlah yang teraniaya. Jika tidak di sini, di akhirat sana kita tuntut keadilan,” katanya.

Dia juga mengakhiri ciapan berkenaan dengan tanda pagar #AyatMenyedapkanHati. MK

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )