PH hidangkan politik kotor tidak seperti “politik bersih” yang diamalkan Pas?

PH hidangkan politik kotor tidak seperti “politik bersih” yang diamalkan Pas?

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menempelak amalan politiking Pakatan Harapan (PH) yang terus menipu rakyat dengan mendakwa mampu menyelesaikan krisis Covid-19 walaupun ternyata gagal menunaikan janji manifesto pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Dalam satu catatan di Facebook, Hadi berkata, selepas menang PRU lalu, pakatan itu tenggelam dengan perbalahan calon perdana menteri, bukannya berusaha memenuhi kewajipan menunaikan janji mereka.

“Setelah kerajaannya hilang, pihak lain pula yang dipersalahkan. Adakah mereka yang tidak mampu menunaikan janji PRU14 yang sedikit, tiba-tiba hari ini mendakwa mampu menyelesaikan masalah Covid-19 yang sedang merebak ke seluruh alam di muka bumi,” katanya di Facebook.

Beliau turut mempersoalkan adakah PH masih boleh dipercayai sedangkan mereka baharu sahaja menipu rakyat dengan janji manifesto yang tidak mampu ditunaikan.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa PH menghidangkan amalan politik kotor kepada rakyat dengan menyebarkan fahaman tidak betul menerusi media sosial tanpa sempadan dan mempengaruhi masyarakat sehingga ramai yang diperbodohkan.

Katanya, lebih parah sekiranya gerakan yang merosakkan masyarakat ini didalangi oleh musuh agama, negara dan bangsa yang bersedia memberikan seberapa banyak sumbangan kepada sesiapa sahaja yang bersedia menjadi tentera upahannya.

“Mungkin politik yang diamalkannya berpisah daripada sempadan agama dan moral yang luhur, suatu sifat yang tidak boleh diterima oleh masyarakat yang beragama, berakhlak dan berakal sihat. Inilah sebenarnya yang dinamakan politik yang kotor.

“Lebih malang lagi, apabila penganut Islam berwalikan (bertuankan) kepadanya,” katanya.

Tambah beliau, wabak ‘penyakit pemikiran dan kefahaman’ lebih berbahaya jika dibandingkan dengan wabak Covid-19 yang mematikan jasad serta mencabut roh mereka yang masih beriman dan berakhlak mulia.

PAS menjadi sekutu utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Bersatu ketika ini selepas kerajaan PH tumbang pada Februari tahun lalu susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )