PM enggan wujud jawatan TPM elak sejarah khianat pada Muhyiddin berulang?

PM enggan wujud jawatan TPM elak sejarah khianat pada Muhyiddin berulang?

Keputusan Ismail Sabri Yaakob menghidupkan semula langkah Muhyiddin Yassin yang tidak melantik timbalan perdana menteri dilihat sebagai langkah baik jangka panjang untuk kerajaan.

Menjelaskan langkah Ismail Sabri itu, beberapa penganalisis politik berpendapat ia adalah tindakan tepat dan sesuai dengan keadaan semasa politik yang masih tidak menentu.

Prof Dr Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata adalah lebih baik untuk ahli parlimen Bera itu menangguhkan lantikan timbalan perdana menteri sehingga kehangatan politik reda.

“Ismail Sabri mungkin belajar daripada sejarah lampau. Semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, jawatan timbalan menimbulkan banyak masalah.

“Lebih-lebih lagi apabila jawatan timbalan perdana menteri tidak memberi tambah nilai kepada kerajaan baru. Ada tak apa, tak ada pun tak apa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Asalnya semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan, Muhyiddin tidak melantik sesiapa menjadi timbalan perdana menteri sebaliknya memberikan jawatan menteri kanan kepada empat ahli parlimen termasuk Ismail Sabri.

Naib Presiden Umno itu kemudian diangkat sebagai sebagai timbalan Muhyiddin hanya pada 7 Julai ketika PN berdepan dengan tekanan daripada Umno.

Ismail Sabri dianggap cukup bertuah kerana kemudian ‘naik pangkat’ menjadi perdana menteri hanya selepas lebih sebulan menjadi timbalan perdana menteri.

Selepas menggantikan Muhyiddin, Ismail Sabri mengekalkan struktur yang pernah dibina presiden Bersatu itu dengan melantik empat menteri kanan.

Azmi berkata ketika ini memang Bersatu memiliki beberapa pemimpin yang menonjol dan boleh dijadikan timbalan Ismail Sabri namun ia akan meletakkan perdana menteri dalam masalah walau siapa pun yang dipilihnya.

“Justeru lebih baik kosongkan jawatan itu buat waktu ini dan boleh dilantik pada waktu sesuai nanti,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Anbumani Balan berkata Ismail Sabri cuba ‘bermain selamat’ dengan langkah tersebut ketika Bersatu memiliki pemimpin kanan yang dilihat berpotensi dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

“Bagi saya, Ismail cuba bermain permainan selamat,” katanya.

Menurut Anbumani nama seperti Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dan bekas timbalan presiden PKR yang kini menjadi Ketua Penerangan PN Azmin Ali adalah nama yang dilihat boleh dilantik.

“(Ismail Sabri) tunggu kerajaan berstabil dulu. Kemudian akan lantik seorang,” katanya.

Sebelum ini terdapat desas-desus bahawa persaingan untuk kerusi nombor dua memang bermula dalam parti Bersatu sesuai dengan kedudukan parti berkenaan yang memberikan sokongan kepada Ismail Sabri. mk

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )