Selepas khianat Anwar, kali ini Azmin dan Zuraida cuba ‘perjatuh’ Muhyiddin?

Selepas khianat Anwar, kali ini Azmin dan Zuraida cuba ‘perjatuh’ Muhyiddin?

KEMASUKAN beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM) sedikit sebanyak memberi tamparan kepada parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

Bahkan, dengan kewujudan PBM ini juga mencetuskan tanda tanya adakah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Zuraida Kamaruddin akan menyertai PBM selepas ini.

Zuraida sebelum ini pernah dilapor tidak menolak menyertai PBM apabila ditanya sekiranya beliau akan mempertimbangkan untuk memimpin parti itu tahun lalu.

Dapat dilihat juga apabila pemegang jawatan dalam PBM yang baru ditubuhkan ini adalah mereka yang rapat dengan Mohamed Azmin dan Zuraida sebelum ini.

Antaranya ialah Timbalan Presiden I PBM, Haniza Mohamed Talha; Ketua Wanita, Daroyah Alwi dan Setiausaha Agung, Nor Hizwan Ahmad.

Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dipilih sebagai Presiden PBM dalam Mesyuarat Khas Persidangan Agung parti itu pada Sabtu.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak yang menyertai Bersatu pada tahun lalu turut tersenarai dalam kepimpinan baharu PBM iaitu ADUN Buntong, A Sivasubramaniam yang dilantik sebagai Naib Presiden Kanan II dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong sebagai Bendahari Agung.

Bagaimanapun, sekiranya Mohamed Azmin dan Zuraida menyertai PBM selepas ini, ia memberikan kesan yang besar kepada kedua-dua ahli politik berkenaan.

Jika berlaku Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat, Mohamed Azmin dan Zuraida kemungkinan besar akan ‘bungkus’ jika menyertai parti baharu tersebut.

Ini kerana, sesebuah parti memerlukan jentera parti yang padu dan berpengalaman untuk melakukan gerak kerja semasa pilihan raya seterusnya memenangi pilihan raya dalam sesuatu kawasan yang ditandingi.

Parti baharu ini juga dilihat tidak mempunyai pemimpin yang berpengaruh atau faktor ‘wow’ bagi membolehkan para pengundi mengundi calon-calonnya.

Jadi, adakah ia akan memberi kelebihan kepada Mohamed Azmin dan Zuraida jika mereka menyertai parti baharu ini?

Dari segi Bersatu pula, jika Mohamed Azmin dan Zuraida menyertai PBM, ia sedikit sebanyak memberi tamparan kepada parti berkenaan kerana kekurangan pemimpin yang berpengaruh.

Dengan ketiadaan pemimpin asal Bersatu semasa ia ditubuhkan seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Dr Maszlee Malik, Bersatu hanya mengharapkan pengaruh Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Perkara ini dapat dilihat semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada tahun lalu apabila PN mempertaruhkan potret Muhyiddin di negeri berkenaan.

Tindakan itu hanya menyebabkan PN menerusi Bersatu hanya menang dua kerusi daripada 28 kerusi yang ditandingi.–SH

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )