Semua jentera dan penyokong Pas harus undi Umno pada PRU-15

Semua jentera dan penyokong Pas harus undi Umno pada PRU-15

PAS mengajak parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN) supaya menumpukan untuk menawan kerusi yang kini dimiliki pembangkang pada PRU15.

Timbalan presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata selain dapat mengukuhkan PN dan MN, langkah tersebut juga perlu dilakukan bagi mengelakkan pertembungan penjuru sesama parti komponen tersebut pada kerusi yang telah dimenangi sebelum ini terutama antara PAS, BN atau Umno dan Bersatu.

“Daripada kita bertembung pada kerusi yang kita telah menang, baik kita fokus pada kerusi yang kita tak menang dan masih di tangan PH supaya kita elakkan pertembungan sesama kita dan menambah jumlah kerusi yang boleh kita menangi dalam PRU15,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dana Fasa Dua Pasaraya Wakaf Ummah di tapak Pasaraya Wakaf Ummah di Dungun, Terengganu hari ini.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim berkata PAS tetap berpegang teguh pada prinsip penyatuan ummah yang menjadi teras parti selama ini, serta akan terus berunding bersama parti-parti PN dan MN iaitu Umno bagi mengelakkan pertembungan kerusi.

Namun katanya, sekiranya masih berlaku pertembungan kerusi antara parti komponen PN, PAS akan menzahirkan sokongannya kepada parti penyandang kerusi tersebut.

“Kita akan pastikan seluruh penyokong dan jentera PAS memberi sokongan kepada calon daripada parti penyandang. Kalau kerusi itu disandang Bersatu tetapi kalau Umno masuk (bertanding), PAS tidak akan menyokong Umno. Begitu juga kalau kerusi itu Umno punya, kalau Bersatu masuk maka PAS tidak akan sokong Bersatu. Kita hendak elak pertembungan tiga penjuru. Itu asas kita,” katanya.

Baru-baru ini parti-parti komponen PN telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan DUN dalam PRU15 dengan segera.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata PN akan meneruskan rundingan pembahagian kerusi dan mengadakan mesyuarat mulai minggu hadapan, walaupun masih tidak mendapat sebarang gambaran daripada Umno atau BN.

-Bernama

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )