Siapa yang runtuhkan penyatuan ummah? Umno sekolahkan Pas!

Siapa yang runtuhkan penyatuan ummah? Umno sekolahkan Pas!

Seorang pemimpin Ummo membidas dakwaan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin bahawa keputusan Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi kesan terhadap usaha penyatuan ummah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, berkata, berkata jika PAS serius mengenai perkara itu dan keutuhan Muafakat Nasional (MN), parti itu sepatutnya tidak membelakangkan Umno apabila menyertai Perikatan Nasional (PN) secara formal.

“Kenyataan Hashim Jasin bahawa keputusan Ummo dianggap menghancurkan usaha penyatuan ummah tidak mengejutkan.

“Tepuk dada tanya selera. Tidak perlu salahkan Umno,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Hashim bahawa usaha penyatuan ummah yang diusahakan PAS bersama Umno serta Bersatu demi kepentingan rakyat negara ini seolah-olah hancur ekoran keputusan Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan perdana menteri.

Hashim menegaskan, keputusan Umno itu secara tidak langsung memberi kesan kepada hubungan di dalam MN yang pada asas penubuhannya ialah demi penyatuan ummah parti-parti politik Melayu Islam di negara ini.

Bagaimanapun, Hashim yakin masih ada ruang bagi ketiga-tiga parti Melayu Islam itu memperbaiki keadaan supaya tidak memberi ruang serta peluang kepada pihak musuh.

Dalam pada itu, Puad berkata MN sudah wujud dan sudah ada Piagam yang dimeterai.

Katanya, sepatutnya fokus dahulu untuk kukuhkan MN yang berjaya menggagalkan ICERD dan Statut Rome.

“Adalah tidak munasabah menyertai dua gabungan parti politik yang berbeza seperti yang dilakukan oleh PAS.

“PAS tahu, rival Umno ialah PPBM. Ramai pemimpin PPBM datang dari Umno, ramai Ahli Parlimen Bersatu ialah mereka yang melompat daripada Umno.

“Mereka itu bekerja untuk memusnahkan Umno, maka penyatuan ummah apa yang PAS mahu perjuangkan.,” soalnya.

Beliau juga menyindir dan mempersoal adakah logik jika PAS menjemput Amanah menyertai PN, MN atau anggota Kabinet kerajaan PN.

“Mahukah PAS? Saya yakin PAS tidak akan setuju. Sebab Amanah adalah rival kepada PAS. PAS sudah tentu tidak mahu berkongsi suami.

“PAS sudah tentu mahu menuntut balik kerusi yang Amanah menang. Mereka anggqp itu kerusi milik PAS,” katanya.

Puad juga berkata Hashim sepatutnya bantu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin jawab tujuh perkara yang menjadi alasan kukuh kenapa Umno tarik sokongan kepada Muhyiddin, kecuali jika PAS menganggap ini bukan kerajaan yang gagal.

“Contohnya bolehkah Hashim Jasin jelaskan apa faedah proklamasi darurat selama tujuh bulan kepada kehidupan rakyat termasuk dalam mengurangkan pandemik Covid-19.

“Bahkan apabila Umno menuntut moratorium automatik dan pengeluaran “one off” RM10,000 dari akaun KWSP, Ahli Parlimen PAS tidak mahu menyokongnya. Maka apa keutamaan PAS? Rakyat atau survival politik parti,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Khaled Nordin berkata, Umno hanya mahu Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ditukar.

Katanya, Umno tidak berkata mahu meninggalkan PN.

“Umno tidak cakap nak tinggalkan PN yang PAS adalah parti komponennya. Umno hanya mahu kapten ditukar dari kalangan parti-parti yang sedia ada bersama kerajaan,” katanya. FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )