Syabu RM2 juta disembunyikan dalam bungkusan teh dirampas

Syabu RM2 juta disembunyikan dalam bungkusan teh dirampas

KOTA KINABALU: Polis Sabah menahan seorang lelaki dipercayai menyeludup dadah jenis syabu ke negeri ini dengan memasukkannya ke dalam bungkusan teh dan menyimpannya dalam kotak akuarium bersaiz kecil.

Lelaki itu ditahan ketika hadir untuk mengambil bungkusan itu, dipercayai tiba dari Semenanjung, di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Inanam dekat sini, pada 4 Jan.

Timbalan Ketua Polis Sabah Jauteh Dikun berkata, polis merampas tiga bungkusan berisi kotak itu yang mengandungi syabu seberat 33.26 kg dianggarkan bernilai RM1.2 juta.

Selepas soal siasat, polis kemudian menyerbu sebuah pejabat di pusat komersial Aeropod berhampiran lapangan terbang di sini, pada 9 Jan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis berjaya menemui dua kotak berisi syabu seberat 21.78 kilogram dianggarkan bernilai RM784,080.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan dadah dirampas seberat 55.4 kilogram bernilai RM1.994 juta berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya pada sidang media di IPK Sabah.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai RM102,097 daripada suspek yang turut dikesan mempunyai 17 sabitan jenayah lampau, daripada dadah hingga mencuri.

Menurut Jauteh, suspek dipercayai sebahagian daripada sindiket dadah negara.

Polis kini memeriksa tempoh lelaki berasal dari Semenanjung itu mula menyeludup dadah ke Sabah, selain mengesan rakan subahatnya di negeri ini.

Suspek akan direman sehingga 18 Jan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.–FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )