TASIK CHINI | Pemerintah “KHIANAT” amanah, kalah dengan “NAFSU”

TASIK CHINI | Pemerintah “KHIANAT” amanah, kalah dengan “NAFSU”

Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) membidas kerajaan Pahang kerana membenarkan kegiatan penebangan hutan dan perlombongan di Tasik Chini, walaupun kawasan itu berstatus hutan simpan kekal.

Menyifatkannya sebagai “mengkhianati” amanah untuk menjaga alam sekitar, Biro Perubahan Iklim dan Kelestarian Muda mendakwa kegiatan itu telah menjejaskan alam sekitar, seperti hakisan, pemendapan dan peningkatan alga.

“Apakah makna di sebalik pewartaan Tasik Chini sebagai tapak rizab biosfera Unesco, juga sebagai hutan simpan kekal buat pemerintah, kerajaan dan penguatkuasa?

“Ternyata pemerintah, agensi dan institusi kerajaan yang diamanahkan untuk memelihara dan mengurus sumber alam sendiri yang telah mengkhianati amanah dan kalah dengan nafsu sendiri,” kata biro itu dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama anggota biro tersebut, iaitu Afiqah Zulkifli, Sheikh Syaqil, Muaz Mohd, Aisyah Farhanah Mohamed, Ahmad Zafrul Afiq Arifudin dan Muhammad Nazri Othman.

Pada 2019, kerajaan Pahang juga mewartakan Tasik Chini dan kawasan sekitarnya sebagai hutan simpan kekal.

Setahun kemudian, kerajaan Pahang juga mewartakan Tasik Chini sebagai taman negeri.

Minggu lalu, Malaysiakini melaporkan kerajaan negeri telah meluluskan kerja perlombongan di sekitar Tasik Chini di Pekan kepada sebuah syarikat berkaitan keluarga diraja.

Kawasan yang terlibat dilaporkan terletak kira-kira tiga kilometer daripada Tasik Chini dan ia mencetuskan bantahan daripada pelbagai pihak.

Antaranya Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) yang menggesa kebenaran itu dibatalkan.

Muda berkata, pihak berkuasa telah gagal dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan tersebut.

“Biarkan Tasik Chini kepada mereka yang menghargainya. Biarkan sumber alam yang terhad ini dijaga oleh penduduk setempat yang lebih bertanggungjawab, amanah, dan punya rasa kepunyaan terhadapnya,” kata Muda. – MK

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )