Timbalan Menteri dedah punca petugas suntik ‘picagari kosong’ vaksin Covid-19

Timbalan Menteri dedah punca petugas suntik ‘picagari kosong’ vaksin Covid-19

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali tidak menolak kemungkinan keletihan dalam kalangan petugas punca berlakunya kes picagari kosong ketika pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada penerima.

Sehubungan itu, beliau meminta petugas kesihatan yang mengalami keletihan memaklumkan keadaan mereka agar dapat berehat sebelum meneruskan tugas.

Katanya, pada pandangan beliau, jika petugas kesihatan mengalami keletihan, mereka perlu memberitahu, kongsi masalah dan jangan berdiam diri sahaja kerana mereka perlu berehat.

“Kalau letih namun diteruskan juga, maka kerja akan jadi tidak produktif, tidak terbaik,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Azmi berkata, ketika ini petugas kesihatan berada dalam keletihan setelah lebih setahun bertugas disebabkan wabak Covid-19 dan sudah tentu mereka perlukan rehat.

Beliau berkata, pemberian vaksin adalah perkara yang sangat serius kerana ia melibatkan kesihatan dan nyawa orang.

Mengulas isu berkaitan penggunaan picagari kosong yang ditularkan, beliau berkata, terdapat tiga kes sedemikian dan ia masih dalam siasatan polis manakala bagi kes di Sungai Petani, petugas kesihatan yang terlibat telah diberikan teguran dan tindakan.

“Kalau kesilapan itu berlaku disebabkan letih, petugas kesihatan patut rehat, namun kalau disengajakan, ia perkara yang sangat ‘jahat’ dan tindakan sepatutnya perlu diambil jika terbukti,” katanya. FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )