Ulama Pas “sekolahkan” RTM, buat program maksiat undang bala Allah

Ulama Pas “sekolahkan” RTM, buat program maksiat undang bala Allah

Pada hari kedua negara mencatatkan angka kes baru Covid-19 melebih 11,000 orang, tokoh ulama PAS tampil membuat teguran kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Mengkhususkan teguran tersebut kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Mokhtar Senik berkata stesen itu – yang menjadi milik penuh kerajaan – sepatutnya menghentikan program maksiat di televisyen.

Pun begitu ahli jawatankuasa Dewan Ulama Pusat PAS itu tidak memperincikan program yang dimaksudkan itu.

“RTM pun, reti-retilah hentikan program-program maksiat dalam TV.

“Jaga SOP (prosedur operasi standard) tu jagalah jugak, tapi maksiat tetap kena hentikan kerana punca bala diturunkan Allah ialah kerana dosa manusia kepada-Nya,” kata Mokhtar.

Untuk rekod PAS kini adalah sebahagian daripada kerajaan PN. RTM pula terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diketuai Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah.

Hari ini sebanyak 11,618 kes baru Covid-19 direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi. Ia adalah catatan kes tertinggi setakat ini.

Semalam pula sebanyak 11,079 kes dikesan.

Keadaan itu meningkatkan kebimbangan orang ramai ketika kerajaan kekal dengan pendirian bahawa darurat adalah cara terbaik untuk mengekang penularan tersebut.

Mokhtar juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa insaf kerana apa yang yang berlaku adalah ujian daripada Tuhan.

“Angka Covid-19 semakin meningkat. Allah sedang menguji kita semua. Perbanyakkanlah istighfar dan selawat. Jangan lalai dan leka,” katanya lagi. MK

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )