Umno “menikus” dalam Parlimen, di luar berapi-api di dalam senyap menyepi

Umno “menikus” dalam Parlimen, di luar berapi-api di dalam senyap menyepi

Penganalisis berpandangan sikap Umno berdiam diri di Parlimen ketika Pakatan Harapan menghentam pentadbiran Perikatan Nasional (PN) akan mengundang padah.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya dan ahli akademik, Azmi Hassan, percaya Umno akan hilang kepercayaan penyokong sekiranya terus berdiam diri, terutama apabila beberapa pemimpinnya lantang di luar Parlimen.

Bagaimanapun bagi Azmi, bersuara sahaja tidak memadai. Umno, katanya, harus bertindak dan lagi lantang bercakap tentang prestasi kerajaan.

“Seperti pepatah orang Melayu ‘cakap tak serupa bikin’. Di luar Parlimen kamu bercakap seolah-olah anti-kerajaan, tetapi di Parlimen, senyap,” katanya.

Awang Azman memberi amaran pengaruh Umno dalam kalangan rakyat boleh terkesan sekiranya parti Melayu itu terus berdiam diri dalam mesyuarat khas lima hari ini.

Beliau percaya itu juga boleh menjejaskan proses baik pulih parti itu.

Namun, Umno berdiam diri di Dewan Rakyat itu mungkin disengajakan, supaya orang ramai tidak keliru bahawa parti itu menentang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, bukannnya kerajaan.

“‘Kluster Presiden Umno’ punyai cara tersendiri mengkritik kepemimpinan perdana menteri, supaya mereka tidak kelihatan secara terbuka menentang PN di Dewan Rakyat,” katanya.

Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs pula berkata, Umno terlepas pulang untuk bersuara di Parlimen, yang menyaksikan kelantangan di pihak pembangkang.

Katanya kepada FMT, Ahli Parlimen Umno nampak keliru dan bingung, terutama selepas parti mereka menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin tetapi masih menyokong kerajaan PN.

“Apa maksudnya? Ia mengelirukan kerana secara perlembagaannya, kerajaan adalah perdana menteri, dan perdana menteri adalah kerajaan. Bagaimana anda menentang perdana menteri tapi menyokong kerajaan?

“Saya fikir, Ahli Parlimen Umno keliru, ditambah pula rakan mereka yang menjadi menteri secara terbuka menyokong kerajaan, manakala kepemimpinan parti masih berdolak dalih,” katanya.

Walaupun beberapa pemimpin Umno dikritik kerana gagal menegur kerajaan di Parlimen walaupun begitu lantang di media sosial, Najib Razak beritahu pengkritik dan penyokong supaya tunggu gilirannya pada Rabu.

Najib mempertahankan dirinya dengan berkata sebelum ini bukan beliau yang “melompat-lompat di Parlimen”.

“Saya bukan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, atau Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad,” katanya di Facebook semalam.

“Tunggu giliran saya beraksi hari Rabu nanti. Saya jamin ianya akan lain dari yang lain.” FMT

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )