Umno “tidak sanggup” berbohong dan fitnah untuk kembali dapat kuasa

Umno “tidak sanggup” berbohong dan fitnah untuk kembali dapat kuasa

Umno, kata presidennya, tidak sekali-kali akan sanggup berbohong, memfitnah atau menawarkan janji yang indah-indah dalam manifestonya dalam perjuangan mendapatkan kembali kuasa di negara ini.

Hal itu kata Ahmad Zahid Hamidi diputuskan begitu kerana parti berkenaan mahu mencari kemenangan yang mendapat rahmat Tuhan.

Bukan begitu cara parti Umno berpolitik. Kemenangan dengan cara begitu tiada rahmatnya.

“Kita perlukan keberkatan dan keredaan Allah SWT apabila kembali mentadbir kelak,” katanya dalam hantaran di media sosial petang ini.

Ahli parlimen Bagan Datuk itu berkata sedemikian sebagai mengulas komen pengikutnya yang menyarankan agar Umno ‘belajar’ daripada Bersatu, DAP dan PKR untuk mendapatkan semula kuasa selepas mereka gagal mendapat mandat rakyat pada 2018.

Tanpa mendedahkan siapa pengikut media sosialnya yang memberikan komen itu, Ahmad Zahid berkata, dia tergelak membaca pandangan itu dan faham kata-kata tersebut berbentuk sinis saja.

“Tetapi ini jaminan saya sebagai presiden UMNO: tidak sesekali Umno akan menipu rakyat, apatah lagi sanggup berbohong, memfitnah dan menawarkan manifesto ‘bukan kitab suci’,” katanya.

Baca Wajib bohong demi jaga maslahat – Abdul Hadi

Untuk rekod sewaktu Pakatan Harapan menjadi kerajaan pusat selepas PRU ke-14 lalu, gabungan itu diasak pembangkang agar mengotakan janji-janji pilihan raya mereka.

Ketika sesetengah janji tersebut dilaksanakan atau dalam proses pelaksanaan, sebahagian lagi berdepan kekangan termasuk dari aspek perundangan.

Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri – sewaktu menjawab desakan tersebut – mendakwa manifesto pilihan raya bukanlah kita suci yang wajib dipatuhi sepenuhnya.

Sebaliknya kata Mahathri ia adalah panduan kepada kerajaan dan kadang-kadang ada antaranya tidak dapat dilaksanakan justeru semua pihak perlu berfikiran praktikal.

Kata Ahmad Zahid dia yakin perjuangan Umno akan dipermudahkan dengan bantuan Tuhan.

“Insya-Allah Yang Maha Esa membantu perjuangan penuh tulus ikhlas. Rakyat juga semakin matang menilai antara kebenaran dan propanganda,” katanya. MK

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )