[VIDEO] Memalukan apabila kakitangan awam dipaksa “bodek” menteri

[VIDEO] Memalukan apabila kakitangan awam dipaksa “bodek” menteri

Video menampilkan ucapan hari lahir oleh sejumlah pegawai dan kakitangan di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan mengundang kecaman orang ramai.

Muncul ketika rakyat tertekan dengan impak pandemik Covid-19 dan siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlarutan sejak tahun lalu, warganet menganggap penjawat awam yang tidak banyak terjejas kini sudah tidak banyak kerja mahu dilakukan di pejabat.

Berdurasi kira-kira tiga minit, lebih 20 pegawai dan kakitangan tampil bersilih ganti mengangkat kertas A4 yang dicetak dengan kata-kata memuji menteri Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sambil tersenyum dan ada mengangkat ibu jari tanda bagus.

Sebahagian pujian tertera dalam bahasa Inggeris juga bahasa pasar. Antara pujian yang dianggap netizen sebagai mengampu menteri dari Bersatu itu ialah “best boss“, wiseman, berintegriti, sporting, awesome boss!!, inspiring dan down to earth.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran, Sabah itu dipuji lambung pegawai dan kakitangan di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebagai berjiwa rakyat, dedicated, cool dan sempoi!, terbaik boss, accomodating dan peramah.

Ronald pada usianya genap 60 tahun pada 10 Januari lalu turut dikatakan sebagai menteri yang tenang, smart and sharp, appreciate, extraversion, mesra, great leader, very understanding, passionate serta firm and decisive.

Ada pegawai kanan di kementerian itu juga dilihat mengeluarkan kertas A4 mengampu menteri berkenaan dari fail kertas berwarna kuning dipanggil Sampul Kecil yang sinonim dalam urusan rasmi di pejabat-pejabat kerajaan.

Bermain Tik Tok

Tidak cukup pujian dengan membazirkan penggunaan kertas A4, terdapat juga aksi bermain aplikasi media sosial yang popular dalam kalangan remaja, Tik Tok dipercayai oleh dua kumpulan dalam skim perkhidmatan kerajaan di kementerian tersebut.

Kedua-dua kumpulan tersebut menggayakakan aksi meraikan hari jadi menteri di lokasi berbeza dilatari dengan lagu rancak ‘Happy Birtday To You’.

Kumpulan Pengurusan dan Profesional terdiri daripada 11 individu dilihat bermain Tik Tok dipercayai ketika waktu berkerja dalam ruangan bilik tertutup. Lima daripada mereka duduk berkemungkinan berjawatan tinggi lengkap dengan makanan dan minuman terhidang di atas meja di hadapan mereka.

Sementara itu, Kumpulan Pelaksana pula kesemuanya 10 orang berdiri menari terkinja-kinja dan yang di belakang sekali terpaksa melompat-lompat di ruang berupa koridor dalam bangunan kementerian tersebut.

Kakitangan dipercayai kumpulan Pelaksana di kementerian diterajui Ronald Kiandee juga bermain Tik Tok di pejabat.

Video seterusnya disambung kembali dengan aksi mengangkat kertas A4 terpampang kata pujian kepada menteri berkenaan yang difahamkan berpendapatan tidak kurang RM50,000 sebulan.

Turut dimuatkan ucapan hari jadi dalam bahasa Inggeris dan bahasa Jepun oleh seorang pegawai kanan wanita yang dilihat kerap membaca skrip di hadapannya.

Telatah puluhan penjawat awam di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memuji-muji Ronald berlaku ketika belum genap setahun kerajaan Perikatan Nasional (PN) menggantikan Pakatan Harapan (PH) ekoran pengkhianatan digelar Langkah Sheraton.

Kelmarin, Ronald ketika dalam perhimpunan bersama warga kementerian itu di Putrajaya berharap Amanat Menteri Tahun 2021 yang disampaikannya buat pertama kali tidak akan menjadi yang terakhir berikutan kemelut politik yang melanda PN ketika ini.

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )